Jumaat, 9 Ogos 2019 | 3:17pm

Solat hajat mohon dipermudahkan cari Nora Anne

SEREMBAN: Kira-kira 300 penduduk sekitar Pekan Pantai menyertai solat hajat di Masjid Kariah Pantai, dekat sini, bagi mendoakan remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang sejak Ahad lalu, ditemui dalam keadaan selamat.

Solat itu yang diadakan selepas solat Jumaat, diimamkan Imam II Masjid Kariah Pantai, Mohd Taufek Awaludin.

Turut menyertai solat berkenaan adalah Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman; Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar serta anggota pasukan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Mohd Taufek berkata, solat sunat itu bagi mendoakan kelancaran operasi SAR yang kini memasuki hari keenam selain mangsa dapat ditemui dengan selamat.

“Kita doakan supaya Allah permudahkan urusan mencari mangsa kerana kehilangan (mangsa) kini sudah masuk hari keenam.

“Kami bimbang mengenai keselamatan mangsa kerana remaja itu dikategorikan sebagai kanak-kanak istimewa yang memerlukan perhatian penuh berbanding kanak-kanak biasa,” katanya kepada pemberita selepas solat hajat itu.

Beliau juga berharap ibu bapa mangsa terus tabah dan bersabar dengan dugaan yang dihadapi.

“Kami berharap ibu bapa mangsa terus tabah dan bersabar atas dugaan ini, sama ada mereka percaya atau tidak, ini adalah ujian Allah,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di kawasan masjid mendapati anggota polis mengedarkan butiran mengenai Nora Anne seperti gambar disertakan nama penuh, usia, nombor pasport mangsa dan tarikh kehilangannya.

Gambar remaja itu turut ditampal di kawasan tumpuan awam seperti di stesen bas dan premis kedai makan.

Jemaah mengaminkan bacaan doa sempena solat hajat di Masjid Kariah Pantai, Negeri Sembilan bagi mendoakan kelancaran operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15 yang hilang sejak Ahad lalu ketika menginap di sebuah resort di Pantai, Seremban. - Foto Iqmal Haqim Rosman
Jemaah mengaminkan bacaan doa sempena solat hajat di Masjid Kariah Pantai, Negeri Sembilan bagi mendoakan kelancaran operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15 yang hilang sejak Ahad lalu ketika menginap di sebuah resort di Pantai, Seremban. - Foto Iqmal Haqim Rosman
Berita Harian X