Sabtu, 10 Ogos 2019 | 10:20pm
SULTAN Nazrin berkenan melancarkan buku karya Dr Adib Vincent Tung berjudul “Titles and Ceremonial Traditions of the Royalty and Nobility of the State of Perak, Malaysia”. - Foto Muhaizan Yahya

Sultan Nazrin lancar buku salasilah Kesultanan Perak

Ipoh: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat melancarkan buku ‘Titles and Ceremonial Traditions of the Royalty and Nobility of the State of Perak, Malaysia’ yang memaparkan berkenaan sejarah dan tradisi beraja Kesultanan Perak di sini, hari ini.

Turut berkenan berangkat ke majlis berkenaan, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Ngeh Koo Ham; Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran; Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Abu Bakar Said.


DR ADIB Vincent Tung menghasilkan buku berjudul “Titles and Ceremonial Traditions of the Royalty and Nobility of the State of Perak, Malaysia” yang dilancarkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. - Foto Muhaizan Yahya

Buku setebal 960 muka surat itu menceritakan berkenaan sejarah negeri, tradisi, adat istiadat dan salasilah Kesultanan Perak.

Penulis buku, Dr Adib Vincent Tung Abdullah berkata, beliau mengambil masa selama hampir 20 tahun bagi menyiapkan naskhah yang lengkap dan gambaran adat istiadat secara lebih mendalam.

“Ketika Almarhum Sultan Idris Shah mangkat 30 tahun lalu, saya menyaksikan (Almarhum) Sultan Azlan Shah kemudian ditabalkan sebagai Sultan Perak ketika itu, ...sejak itu saya jatuh cinta pada adat Melayu.

“Saya kemudian didedahkan dengan adat istiadat dan acara rasmi, ini yang membuatkan saya berminat dengan adat istiadat serta mendapat ilham untuk menulis buku ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Adib Vincent berkata, hasil penulisan berkenaan sudah dipersembahkan dan mendapat perkenan Sultan Nazrin.

Beliau berkata, penulisan buku itu mengambil masa yang agak lama untuk dihasilkan kerana perlu menyelami dan meneliti termasuk mendapatkan sumber yang lebih tepat.

“Saya banyak mengembara bagi mendapatkan sumber dan manuskrip dan perkara yang paling mencabar adalah menukar beberapa istilah istana ke dalam bahasa Inggeris.

“Selain itu, bahan yang digunakan sebagai sumber, perlu disemak dan mendapat kritikan oleh Ahli Dewan Negara Perak serta orang yang lebih arif dan berpengalaman bagi memastikan sumber dan maklumat yang tepat,” katanya sambil memaklumkan buku berkenaan adalah naskhah ke-28 yang dihasilkannya.

Beliau yang juga Pengerusi Perak Academy berkata, buku yang sudah dicetak sebanyak 500 salinan itu dijual pada harga RM399.

“Buat masa ini, sesiapa yang ingin memiliki buku ini boleh terus menghubungi saya atau Perak Academy,” katanya.

Berita Harian X