Ahad, 11 Ogos 2019 | 2:58pm
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir mengagihkan daging korban kepada fakir miskin pada Program Korban di Masjid Pida 3 Jitra. - Foto BERNAMA

1,358 rumah rosak di Kedah

JITRA: Sebanyak 1,358 rumah rosak akibat Taufan Lekima di seluruh negeri ini, kelmarin, dengan Kuala Muda mencatatkan kes paling tinggi.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata beliau pada awalnya menyangka bahagian utara paling teruk terjejas, namun selepas mendapat maklumat terkini, Kuala Muda adalah kawasan paling banyak terjejas dengan 400 kes dilaporkan.

“Dengan keadaan sekarang, nampaknya kerajaan negeri akan beri peruntukan yang lebih dan kita juga berurusan dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Korban di Masjid Pida 3 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, kerajaan negeri akan menilai kerosakan yang dilaporkan sebelum memberi bantuan kepada mangsa.

“Kita akan menilai kerosakan dan lihat berapa banyak bantuan yang boleh disalurkan kepada keluarga terjejas akibat ribut. Jumlah yang akan diberikan bergantung pada keadaan rumah yang rosak,” katanya.

Beliau berkata, walaupun bantuan tambahan untuk membaiki rumah belum diberikan, kerajaan negeri sudah menyalurkan bantuan awal RM300 kepada penduduk terjejas.

Berita Harian X