Ahad, 11 Ogos 2019 | 3:51pm

Hujan jejas usaha sukarelawan jejak Nora Anne

SEREMBAN: Sekumpulan sukarelawan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne Quoirin, 15, mengaku sukar melaksanakan pencarian remaja Ireland itu berikutan keadaan cuaca tidak menentu.

Wakilnya, Kenny Chan, 43, berkata hujan pagi tadi menyebabkan permukaan tanah licin, lembap dan berlumpur, sekali gus mendatangkan bahaya, selain menyukarkan usaha mereka meredah kawasan hutan di sini.

“Disebabkan hujan, agak sukar meredah hutan kerana permukaan sangat licin dan berlumpur. Kami terpaksa lebih berhati-hati melakukan pencarian.

“Ini hari pertama kami menyertai operasi SAR dengan memulakan pencarian sejauh satu kilometer bermula jam 8 pagi tadi membabitkan 12 pendaki gunung berusia antara 17 hingga 62 tahun” katanya kepada media, sini, hari ini.

SUKARELAWAN dari warga tempatan turun membantu melakukan misi pencarian di lokasi seorang remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu di sebuah resort di Pantai, Seremban, Negeri Sembilan. NSTP/Adzlan Sidek

Kenny berkata, kumpulan sukarelawan itu akan meneruskan usaha mencari Nora Anne hari ini dengan meningkatkan usaha pencarian selama 10 jam di kawasan hutan berhampiran pusat peranginan di sini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong yang hadir melawat kawasan pusat peranginan di sini, turut mengingatkan pengusaha resort sekitar Pantai Hill untuk segera mengemukakan permohonan kelulusan lesen beroperasi kepada Majlis Perbandaran Nilai (MPN) sebelum tempoh tamat menjelang Oktober ini.

Katanya, terdapat 18 pengusaha resort di kawasan itu dan setakat ini hanya 30 peratus daripada mereka sudah berbuat demikian.

“Sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri, kami mengadakan perbincangan dengan pengusaha resort untuk membantu mereka mendapatkan kelulusan beroperasi.

“Saya mengingatkan pengusaha mematuhi arahan ini atau berdepan tindakan tegas daripada kerajaan negeri,” katanya sambil menambah tujuannya melawat perkarangan pusat peranginan itu untuk mendapatkan perkembangan terkini berhubung kes kehilangan Nora Anne.

ANGGOTA operasi mencari dan menyelamat (SAR) menjalankan misi pencarian di lokasi pada hari ke-8 susulan remaja warga Ireland, Nora Anne yang hilang pada 4 Ogos lalu ketika menginap di sebuah resort di Pantai, Seremban. NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X