Isnin, 12 Ogos 2019 | 3:56pm

Anak buntu rumah ibu bapa terbakar selepas Taufan Lekima

GEORGETOWN: “Di mana harus kami pergi dan kepada siapa kami patut adukan?”. Itu rintihan Jaharah Ismail, 41, yang buntu mencari jalan penyelesaian untuk membantu kedua ibu bapanya yang menjadi mangsa kejadian ribut susulan Taufan Lekima pada Jumaat lalu.

Dalam kejadian itu, rumah pusaka berusia lebih 80 tahun didiami ibu bapa Jaharah di Kampung Dodol di sini, musnah akibat kebakaran yang disebabkan litar pintas selepas dipukul ribut.

Jaharah berkata, beliau bingung kerana tidak mengetahui saluran untuk mendapatkan bantuan pihak berkaitan, termasuk daripada kerajaan negeri.


JAHARAH melihat keadaan rumah pusaka yang didiami ibunya, Hasnah musnah terbakar dalam kejadian awal pagi Sabtu lalu di Kampung Dodol. NSTP/Danial Saad

“Saya tidak tahu nak jumpa siapa, mahu pergi mana dan adukan kepada siapa. Saya tahu susah untuk mendapatkan ganti rugi atau pampasan penuh daripada kerajaan negeri dan pihak berkaitan, tetapi sekarang ini tiada siapa yang datang dan beritahu kami apa perlu dilakukan,” katanya ketika ditemui di Kampung Dodol di sini, hari ini.

Jaharah yang bekerja di Kuala Lumpur berkata, beliau bersyukur apabila majikannya sudi memberi cuti tambahan sehingga Jumaat ini untuk membantu menguruskan masalah terbabit.

Katanya, ketika ini beliau sudah membuat dua laporan polis berhubung kejadian ribut dan kebakaran, selain wakil rakyat di kawasan itu juga sudah mengadakan lawatan.

“Laporan polis sudah dibuat dan saya harap perkara ini dapat diselesaikan segera,” katanya yang juga anak sulung daripada tiga beradik.

Sementara itu, ibu Jaharah, Hasnah Ahmad, 63, berkata ketika kejadian, rumahnya dimasuki hujan selepas ribut menerbangkan hampir separuh atap kediamannya.

“Selepas itu, makcik bertindak tutup suis elektrik utama untuk elakkan litar pintas dan kami suami isteri pergi ke rumah anak yang tinggal berdekatan untuk berlindung sementara.

“Tetapi kira-kira jam 3 pagi, jiran hubungi dan maklumkan rumah kami terbakar. Tiada apa yang sempat diselamatkan,” katanya.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh, berkata lebih 500 kediaman yang rosak di Pulau Pinang akibat ribut susulan Taufan Lekima pada Jumaat lalu, akan menerima bantuan menerusi Tabung Yang Dipertua Negeri (TYT).

Katanya, jumlah bantuan akan diberikan adalah kira-kira 10 peratus daripada nilai kerosakan atau terhad kepada RM5,000 untuk satu kediaman.

HASNAH (kanan) ditemani anak sulungnya Jaharah melihat rumahnya yang terbakar dalam kejadian awal pagi Sabtu lalu di Kampung Dodol. NSTP/Danial Saad
Berita Harian X