Isnin, 12 Ogos 2019 | 4:19pm
TIMBALAN Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor. NSTP/Farizul Hafiz Awang

Berhenti sebar berita palsu kemalangan di Lebuhraya Plus - Timbalan KPN

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan tindakan pihak tidak bertanggungjawab memanipulasikan insiden kemalangan di Kilometer 293.5, Lebuhraya Utara Selatan, yang berakhir dengan kematian seorang lelaki berusia 29 tahun, Sabtu lalu.

Pelbagai spekulasi dikeluarkan dalam rangkaian komunikasi dan platform media sosial bagi membangkitkan sentimen perkauman yang boleh menjejaskan perpaduan masyarakat dan ketenteraman awam di negara ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor, berkata pihaknya sudah mengeluarkan beberapa kenyataan rasmi mengenai punca kejadian berkenaan.

“PDRM sudah mengeluarkan kenyataan rasmi, tangkapan pun sudah dibuat ke atas suspek yang terbabit dalam kejadian itu.

“Sekarang, kami merayu saksi yang berada di lokasi kejadian untuk tampil memberikan keterangan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mazlan berkata, PDRM menasihatkan masyarakat supaya tidak menyalahgunakan rangkaian komunikasi media sosial dengan cara yang boleh memecahbelahkan dan mengganggu-gugat perpaduan antara kaum.

Katanya, tindakan mengeluarkan berita atau laporan tidak benar ini akan menjurus kepada polemik perkauman dan keagamaan.

Sejak semalam, pelbagai spekulasi tidak benar disebarkan melalui media sosial berhubung kejadian kemalangan yang berakhir dengan kematian pegawai bank, Syed Muhammad Danial Syed Shakir.

Pada hari sama, suspek seorang lelaki berusia 40 tahun dan isterinya berusia 36 tahun ditahan selepas dipercayai melanggar mangsa hingga menghimpitnya ke besi pembahagi jalan akibat panik dengan perbuatan mangsa yang membawa kayu besbol memukul depan kereta suspek.

Akibat kecederaan dialaminya, mangsa dihantar ke Nilai Medical Centre oleh orang awam dan disahkan sudah meninggal dunia.

Berita Harian X