Selasa, 13 Ogos 2019 | 1:04pm
Zaini Said, 37, (kiri) bersama jirannya melihat atap yang tercabut di bahagian dapur rumah miliknya akibat kejadian ribut Jumaat lalu di Kampung Pida Tiga, Jitra. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Mangsa ribut di Kedah dapat RM5,000 untuk baiki rumah

ALOR SETAR: Kerajaan negeri mengumumkan bantuan maksimum sebanyak RM5,000 bagi setiap kediaman di negeri ini yang terjejas akibat tempias Taufan Lekima baru-baru ini.

EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan negeri, Halimaton Shaadiah Saad, berkata bantuan awal daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu akan disalur melalui Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri.

Katanya, keputusan itu dibuat malam tadi, hasil perbincangan Penyelaras Bantuan Bencana Ribut Negeri Kedah yang terdiri daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), NADMA dan Pentadbiran Daerah.

“Had maksimun bagi membaik pulih rumah mangsa ribut adalah RM5,000. Pejabat Daerah perlu menyelaras dan mendapatkan anggaran lengkap kerosakan serta kemusnahan kediaman yang terbabit.

“Antara maklumat penting perlu disediakan adalah alamat kediaman mangsa, laporan polis, gambar kediaman serta pengesahan daripada penghulu mukim serta sebut harga bagi kos pembaikan yang telah disahkan oleh pegawai teknikal di Pejabat Daerah,”katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam kejadian Jumaat lalu, lebih 1,300 rumah di seluruh negeri rosak dengan daerah paling teruk adalah Kuala Muda, Kubang Pasu, Langkawi dan Kota Setar.

Halimaton berkata, mangsa boleh mengisi borang yang akan disediakan oleh Bahagian Khidmat Pengurusan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah dan boleh mendapatkannya di Pejabat Daerah masing-masing.

Katanya, tarikh akhir penyediaan maklumat dari Pejabat Daerah adalah Khamis ini, sebelum dihantar kepada Bahagian Khidmat Pengurusan di Wisma Darul Aman untuk diselaraskan NADMA.

“Mangsa ribut yang yang telah membuat pembaikan dan ingin membuat tuntutan perlulah menyediakan dokumen yang lengkap seperti laporan polis, gambar keadaan rumah ketika dan selepas pembaikan dan disahkan oleh penghulu mukim berkenaan.

“Peruntukan ini disediakan hanya untuk pembaikan kediaman dan tidak termasuk kilang, masjid, kedai dan lain-lain,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri melalui pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri turut menyalurkan sumbangan sebanyak RM20,000 ke akaun amanah Pegawai Daerah selewat-lewatnya Khamis ini.

Katanya, wang itu adalah berbentuk Tabung Bantuan Segera (TBS) yang akan diagihkan kepada mangsa ribut antara RM100 dan RM200.

Berita Harian X