Selasa, 13 Ogos 2019 | 3:59pm
Amirudin ketika sesi Dialog Bajet 2020 Membudaya Komuniti Sihat Ke Arah "Selangor Maju Bersama" di Shah Alam, hari ini. - NSTP/Sairien Nafis

Bantuan lewat sebab babitkan banyak rumah, kos besar

SHAH ALAM: Menteri Besar, Amirudin Shari, tidak menafikan kelewatan bantuan ke beberapa lokasi yang terjejas akibat tempias Taufan Lekima pada Sabtu lalu disebabkan ia membabitkan banyak rumah dan kos yang besar.

Beliau berkata, kerajaan negeri bersimpati dengan nasib menimpa mangsa ribut itu dan akan cuba menangani sebaik mungkin masalah dihadapi mereka.

“Memang bantuan lambat kerana ia membabitkan banyak rumah. Jika hanya mahukan skor politik, kita boleh berikan sekampit beras, tetapi itu tidak akan menyelesaikan masalah mangsa terbabit.

“Kita ingin selesaikan masalah utama, contohnya sebelum ini di FELDA Suharto, Gombak dan Tanjung Karang, dapat kita selesaikan tetapi mengambil sedikit masa,” katanya selepas sesi Dialog Bajet 2020 di Hotel Concorde di sini, hari ini.

Ketika sesi lawatan ke lokasi terjejas ribut pada Sabtu lalu, Amirudin memaklumkan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sabak Bernam akan memberikan bantuan awal RM500 kepada setiap keluarga terjejas.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi itu, sebanyak 266 rumah di Bagan Nakhoda Omar (BNO) terjejas termasuk sebuah rumah roboh, manakala 56 lagi dalam keadaan kritikal, 62 rumah di Sabak (empat kritikal); Pancang Bedena membabitkan 78 rumah dengan 12 rosak teruk; 25 rumah di Sungai Panjang 25 dengan 12 rosak teruk, manakala di Pasir Panjang membabitkan 12 rumah.

Amirudin berkata, kerosakan yang berlaku akibat ribut adalah besar dan dijangka diselesaikan dalam tempoh tiga minggu atau sebulan setengah.

Beliau berkata, ribut adalah bencana alam dan paling penting dalam pengurusan bencana adalah penyelarasan, malah Selangor lebih ke hadapan berbanding negeri lain kerana mempunyai unit serta pegawai khas dalam pengurusan bencana.

“Kita sedia terima kritikan dan sedia memperbaiki kelemahan. Bagaimanapun, kita perlu bersimpati juga dengan pegawai kita sebab ribut berkenaan membabitkan lebih 500 rumah,” katanya.

Berita Harian X