Khamis, 15 Ogos 2019 | 1:16pm
MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub (dua kanan) bersama Ketua Pegawai Operasi The Holstein Milk Company Sdn Bhd, Azmi Zainal (tiga kanan) ketika mebuat lawatan kerja ke ladang tenusu dan merasmikan kilang memprosesan susu The Holstein Milk, di Muadzam Shah. - Foto Fairoz Azizan

Sasar tiada lagi susu segar import lima tahun akan datang

ROMPIN: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyasarkan pengeluaran 100 peratus susu segar tempatan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub, berkata kerajaan komited dalam mempertingkatkan pengeluaran susu segar tempatan melalui pengimportan sebanyak 10,000 ekor induk tenusu bunting dalam tempoh berkenaan.

“Oleh itu, Kadar Sara Diri (SSL) pengeluaran susu cair dalam negara dapat disasarkan 100 peratus berbanding 61.44 peratus ketika ini.

“Statistik pada tahun lalu mendapati permintaan terhadap susu segar meningkat kepada 67.1 juta liter setahun dan daripada jumlah itu, sebanyak 40.36 juta liter susu adalah daripada dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke ladang tenusu dan perasmian kilang pemprosesan susu The Holstein Milk Company Sdn Bhd di Lembah Tenusu Muadzam di Muadzam Shah di sini, hari ini.

Salahuddin berkata, dengan adanya lima lembah tenusu di negara ini, ia dapat meningkatkan kemampuan proses pengeluaran daripada huluan, hiliran dan ‘midstream’.

“Saya yakin dengan pelbagai perancangan yang kementerian lakukan seperti penjenamaan semula sistem lembu pawah dapat meningkatkan lagi pengeluaran produk tempatan,” katanya.

Selain Lembah Tenusu Muadzam, beberapa lembah tenusu yang sedang dan akan dibangunkan berdasarkan peruntukan yang diluluskan kerajaan adalah, Lembah Tenusu Muallim dan Lembah Tenusu Larut-Matang-Selama (LMS) di Perak, Lembah Tenusu Ulu Bernam (Selangor) dan Lembah Tenusu Borneo (Sabah & Sarawak).

Beliau berkata, selain itu kementeriannya turut mencadangkan supaya kerajaan memilih susu sebagai minuman percuma dalam rancangan pemberian makanan dan minuman berkhasiat untuk murid.

“Dalam mesyuarat Majlis Eksekutif Tindakan Ekonomi Negara minggu lalu, Kementerian Pendidikan merancang untuk memberikan produk makanan dan minuman berkhasiat kepada murid dan kita mencadangkan kepada Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) supaya memilih susu segar tempatan.

“Bagaimanapun, idea terbabit masih belum diputuskan lagi. Kita akan memberi fokus kepada susu segar tempatan dan memastikan produk yang dibekalkan itu dijamin kesegarannya serta memenuhi kriteria supaya tidak timbul isu susu basi,” katanya.

Menyentuh mengenai pengeluaran susu segar keluaran syarikat The Holstein Sdn Bhd, Salahuddin berkata, syarikat terbabit mampu menghasilkan kira-kira enam juta liter susu setahun membabitkan pengeluaran di Lembah Tenusu Muadzam.

“Syarikat ini sudah mewujudkan seramai 32 stokis dan 620 ‘home dealers’bagi tujuan pemasaran susu keluaran mereka di mana mampu menjana pendapatan antara RM10,000 dan RM25,000 sebulan untuk stokis dan RM700 hingga RM5,000 sebulan bagi ‘home dealers’,” katanya.

Dalam majlis terbabit juga, seramai 41 penternak di Lembah Tenusu Muadzam menerima insentif berupa lembu tenusu bunting serta peralatan berkaitan tenusu yang dianggarkan berjumlah RM119,000 setiap seorang dengan nilai keseluruhan sebanyak RM4.879 juta melalui kaedah pembiayaan nisbah 70:30 antara kerajaan dan penternak.

Berita Harian X