Khamis, 15 Ogos 2019 | 2:39pm

Nora Anne mati akibat kelaparan

SEREMBAN: Hasil bedah siasat terhadap mayat Nora Anne Quoirin, mengesahkan remaja perempuan itu mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh panjang.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, berkata selain itu, remaja berusia 15 tahun itu dipercayai mati akibat tekanan berpanjangan.

Katanya, terdapat juga kesan calar kecil pada kaki mangsa, tetapi ia tidak menjurus kepada kematiannya.

“Mangsa dipercayai mati dua sehingga tiga hari sebelum mayatnya ditemui dan tidak lebih daripada empat hari.

“Hasil bedah siasat juga mendapati tiada kesan dirogol. Tiada juga elemen dilarikan atau diculik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Mohamad berkata, beberapa sampel daripada tubuh Nora Anne diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Dalam pada itu, beliau berkata, siasatan masih dilakukan sebagai kes sebagai orang hilang.

Mayat Nora Anne ditemui pada 13 Ogos lalu, iaitu hari ke-10 misi pencarian, membabitkan pelbagai agensi termasuk polis, tentera, bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan dibantu penduduk tempatan termasuk Orang Asli serta sukarelawan.

Mengulas mengenai pejabat pendakwa raya Perancis yang membuka siasatan jenayah terhadap kes Nora Anne, beliau berkata, tidak mengetahui mengenai perkara itu.

“Bagaimanapun, pihak Perancis, Ireland dan United Kingdom terbabit dalam membantu siasatan kes ini,” katanya.

Mengenai mayat Nora Anne yang kini masih berada di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini, Mohamad berkata, keluarga dibenarkan mengambil mayat anak mereka pada bila-bila masa.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini keluarga masih belum membuat sebarang persiapan berkenaan perkara itu.

Sementara itu, Mohamad berkata, polis sudah menerima laporan seorang pengguna laman sosial Twitter yang memuat naik ciapan mendakwa remaja Ireland itu dirogol Orang Asli dan usaha mengesan pemilik laman sosial terbabit sedang dilakukan.

Semalam, proses bedah siasat mayat Nora Anne dijalankan bermula jam 11.45 pagi sehingga jam 9 malam.

Proses itu dikendalikan Pakar Patologi Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Siew Sheue Feng dan Pakar Forensik HTJ, Dr Hanif Mohammad.

Mereka dibantu Pengarah Bahagian Forensik DNA, Pusat Analisis Sains Forensik, Jabatan Kimia, Nor Aidora Saedon dan Pegawai Sains, Bahagian Forensik DNA, Pusat Analisis Sains Forensik, Jabatan Kimia, Sopian Ashafi Mohamed.

KETUA Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop pada sidang media di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan berkenaan punca kematian mayat remaja berusia 15 tahun, Nora Anne Quoirin ditemui. - Foto Hasriyasyah Sabudin
Berita Harian X