Jumaat, 16 Ogos 2019 | 10:09am
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu (dua dari kanan) merasmikan gimik pelancaran kempen kibarkan jalur gemilang sempena majlis Perhimpunan dan Pelancaran Kempen Kibarkan Jalur Gemilang Sempena Bulan Kebangsaan 2019 di Kementerian Pertahanan. Turut sama, Panglima Tentera Udara, Tan Sri Affendi Buang (kiri). - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Individu hina tentera adalah musuh negara - Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, menyifatkan mana-mana individu yang menghina Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah musuh negara dan rakyat.

Beliau berkata tindakan menghina ATM juga adalah perkara jijik dan tidak boleh diterima.

“Bagi saya, sesiapa saja tidak kira daripada mana-mana kaum, jika menghina ATM, maka dia adalah musuh negara.

“Mana-mana individu boleh memberi tunjuk ajar, pandangan dan mengkritik anggota tentera, namun tidak sampai ke tahap menghina.

“Jangan ambil kesempatan membangkitkan isu perkauman,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Kementerian Pertahanan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2019, di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Zuki Ali.

Kelmarin, Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM), Ismail Abidin membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, Perlis, berhubung kenyataan ahli perniagaan, Koon Yew Yin, yang didakwa menghina anggota tentera.

Ismail dilaporkan berkata kenyataan Yew Yin melabelkan anggota tentera sebagai pemalas dan ‘kerja makan tidur’ turut dilihat sebagai menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Ketua Pemerintah ATM.

Berhubung isu itu, Mohamad Sabu berkata pihaknya menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat kenyataan Yew Yin kononnya ramai anggota tentera hanya makan dan tidur.

Katanya, pihak berkuasa terbabit perlu diberi ruang sepenuhnya sebelum membuat keputusan untuk mengambil tindakan susulan atau sebaliknya.

“Laporan polis sudah dibuat oleh pelbagai pihak, kita serah kepada polis untuk siasat. Kita tunggu apa tindakan mereka,” katanya.

Berita Harian X