Jumaat, 16 Ogos 2019 | 12:45pm

Kedutaan Ireland bantu urus dokumentasi mayat Nora Anne - TPM

SEREMBAN: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Kedutaan Ireland bersedia membantu dari segi dokumentasi bagi tuntutan mayat remaja Ireland, Nora Anne Quoirin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia bagi memudahkan keluarga itu membawa pulang mayat remaja berusia 15 tahun terbabit ke negara asal mereka.

“Mereka (pihak kedutaan) memaklumkan apa-apa dokumentasi akan dimudahkan untuk membawa balik mayat keluar dari Malaysia,” katanya pada sidang media selepas sesi taklimat mengenai operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne di Balai Polis Pantai, di sini, hari ini.

Sesi taklimat itu disampaikan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkenaan operasi SAR remaja terbabit yang dijalankan sejak 4 Ogos lalu sehingga mayatnya ditemui Rabu lalu.

Dr Wan Azizah turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan SAR kerana bertungkus lumus mencari remaja itu.

“Malangnya dia ditemui (dalam keadaan sedemikian). Kita serahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Dr Wan Azizah kemudian meluangkan masa kira-kira 15 minit bagi menemui keluarga Nora Anne di resort berkenaan.

Bagaimanapun apabila ditanya mengenai pertemuan dan sama ada keluarga berpuas hati dengan keputusan bedah siasat, beliau enggan mengulas lanjut.

“Saya tidak boleh komen. Keluarga minta privasi,” katanya.

Semalam, Mohamad mengesahkan Nora Anne mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh panjang.

Selain itu, katanya, remaja itu yang hanya mempunyai kesan calar kecil pada bahagian kaki, dipercayai mati akibat tekanan berpanjangan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bercakap pada sidang media selepas hadir bagi mendengar taklimat susulan kehilangan remaja Ireland, Nora Anne Quorin, dari resort penginapan yang berakhir dengan penemuan mayatnya pada pada 13 Ogos lalu. - Foto Adzlan Sidek
Berita Harian X