Jumaat, 16 Ogos 2019 | 4:06pm
MENTERI Pertahanan, Mohamad Sabu. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Kempen Tabung Pahlawan sasar kutipan RM6 juta - Menteri Pertahanan

KUALA LUMPUR: Kempen Tabung Pahlawan (KTP) yang akan dilancarkan pada 19 September depan menyasarkan kutipan sebanyak RM6 juta untuk tahun ini, kata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Berikutan itu, katanya, semua lapisan masyarakat tidak kira individu, pihak swasta mahu pun korporat diseru untuk menyumbang kepada KTP, bersempena sambutan Hari Pahlawan peringkat Kebangsaan.

Katanya, hasil kutipan tabung itu nanti akan disalurkan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk veteran kelainan upaya, balu dan anak-anak.

Selain itu, kutipan juga akan digunakan untuk memberi bantuan kebajikan kepada veteran yang ditimpa musibah, bantuan alat perubatan serta bantuan khas pengurusan jenazah.

“Kempen ini dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) yang mana sebelum ini ia dikendalikan oleh Persatuan Veteran ATM (PVATM).

“Kempen ini bermula dari bulan Ogos sehingga Februari 2020 dan akan dirasmikan oleh isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali selaku Penaung KTP 2019.

“Setiap sumbangan kepada KTP akan dikecualikan daripada cukai pendapatan dan resit rasmi akan dikeluarkan bagi tujuan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamad berkata, pengumuman dan penyampaian sumbangan akan dibuat ketika majlis pelancaran KTP pada 19 September depan manakala, Majlis Makan Malam Amal KTP pula akan diadakan pada 25 Oktober.

Beliau berkata, pelbagai agenda dirancang bersempena sambutan Hari Pahlawan yang antaranya program derma darah oleh Veteran ATM dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan Larian Amal 19.33 yang dijangka dibuat tahun depan.

Berita Harian X