X
Jumaat, 16 Ogos 2019 | 5:57pm
PENGERUSI SPR, Azhar Azizan Harun
PENGERUSI SPR, Azhar Azizan Harun

Keputusan PRK Parlimen Kimanis selepas tamat tempoh rayuan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya akan membuat keputusan sama ada perlu diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Sabah atau tidak, selepas tamat tempoh 14 hari rayuan.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, Datuk Seri Anifah Aman, mempunyai hak untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan dalam tempoh itu selepas Mahkamah Pilihan Raya Sabah membatalkan kemenangannya, hari ini.

Mahkamah menolak kemenangan Anifah Aman pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu kerana ada tambahan kertas undi yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

“Kita akan tunggu perkembangan semasa. Beliau ada tempoh rayuan. Jika dalam tempoh itu, tiada sebarang rayuan dibuat, SPR akan panggil (mesyuarat) untuk PRK,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya jika Anifah mengemukakan rayuan, SPR akan menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan yang dijangka akan membuat keputusan dalam tempoh maksimum enam bulan.

“Kebiasaannya macam itu (enam bulan), mungkin lebih awal. Apa-apa pun, kita tunggu keputusan semasa.

“Jika keputusan kekal (kemenangan ditolak), SPR akan adakan PRK,” katanya.

Pada PRU ke-14, Anifah yang juga bekas Menteri Luar memenangi kerusi Kimanis dengan majoriti 156 undi, dalam pertandingan tiga penjuru.

Beliau memperoleh 11,942 undi berbanding calon Warisan, Karim Bujang dan Jaafar Ismail dari Harapan Rakyat, masing-masing meraih 11,786 undi dan 1,300 undi.

Bekas ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno itu umum keluar parti pada September tahun lalu.

Berita Harian X