Jumaat, 16 Ogos 2019 | 6:16pm
Sebahagian kawasan tanah rizab Melayu di kawasan Kampung Tanjung yang semakin hilang selepas pembangunan dijalankan di kawasan berkenaan. - NSTP/Ghazali Kori

Tanah rizab Melayu Terengganu kritikal

KUALA TERENGGANU: Kedudukan tanah rizab Melayu di Terengganu semakin membimbangkan apabila sehingga kini hanya tinggal 0.003 peratus atau kurang 100 hektar yang masih ada.

Jumlah sepatutnya adalah sekitar 12 hingga 15 peratus tanah rizab Melayu di setiap negeri, seperti termaktub dalam Perlembagaan.

Pengerusi PKR negeri, Azan Ismail, berkata keadaan itu amat kritikal dan perlu segera diatasi berikutan 95 peratus penduduk Terengganu adalah Melayu dan kawasan tanah rizab Melayu di negeri ini terlalu kecil berbanding jumlah keluasan tanah negeri 1.295 juta hektar.

“Kedudukan tanah rizab Melayu di Terengganu adalah yang terendah di Malaysia sedangkan negeri ini mempunyai populasi masyarakat Melayu antara tertinggi dalam negara.

“Kedudukan kawasan tanah rizab Melayu di Terengganu memang sangat rendah jika dibandingkan dengan negeri lain seperti Pahang yang mempunyai 12.41 peratus tanah rizab Melayu; Kelantan (31.82 peratus); Kedah (31.86 peratus) dan Perak (43.50 peratus).

“Jika dibandingkan negeri yang komposisi penduduknya agak seimbang atau peratusan penduduk berbangsa Melayunya tidak setinggi di Pantai Timur pun mempunyai keluasan tanah rizab Melayu yang jauh lebih tinggi.

“Jadi kedudukan ini memperlihatkan Terengganu agak pelik dan tidak munasabah. Mustahil kerajaan negeri tidak sedar akan perkara ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, kepincangan isu tanah rizab Melayu di negeri ini didakwa berpunca daripada pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) yang meminda Enakmen Tanah Rizab Melayu (ERM) Terengganu pada 2015 dan 2016.

“Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika itu meluluskan usul yang mana pindaan enakmen itu membolehkan BPUNT menjadi badan yang boleh dipindahkan tanah rizab Melayu Terengganu kepadanya.

“Oleh kerana pindaan itu sudah berkuat kuasa lebih dua tahun tanpa ada kuasa untuk kita sekat, saya percaya usaha atau kegiatan memindahkan tanah rizab Melayu kepada BPUNT untuk tujuan komersial dilakukan secara berterusan.

“Sebagai contoh BPUNT mewujudkan syarikat yang berkait dengan pemaju hartanah, wujudkan usaha sama dan akhirnya tanah itu dijual atau dilepaskan begitu sahaja kepada pihak lain tanpa ia diganti,” katanya.

Beliau berkata, lebih memburukkan keadaan apabila ada tanah rizab Melayu di negeri ini mungkin turut diambil untuk projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan tidak diganti.

Berikutan itu Azan menggesa kerajaan negeri PAS mengotakan janji dan ikrar yang dibuat ketika menjadi pembangkang pada 2015 dan 2016 supaya segera membatalkan enakmen pindaan itu.

Katanya, ketika menjadi pembangkang bersama Pakatan Rakyat ketika itu, PAS berikrar dan berjanji untuk membatalkan enakmen itu sekiranya berjaya menjadi kerajaan.

“Bagaimanapun, selepas lebih setahun pemerintahan kerajaan PAS di Terengganu, nampaknya isu tanah rizab Melayu bukan sahaja tidak diambil perhatian atau diendahkan seperti dijanjikan.

“Malah, kita lihat ada lagi sebahagian tanah rizab Melayu yang diambil dan ia termasuk yang terbabit dalam jajaran ECRL di Hulu Terengganu,” katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X