Jumaat, 16 Ogos 2019 | 7:59pm
Ahli keluarga Nora Anne ketika perjumpaan tertutup bersama anggota pasukan mencari dan menyelamat di Bilik Gerakan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR), Sabtu lalu. - Ihsan PDRM

Keluarga Nora Anne mahukan jawapan

SEREMBAN: Keluarga Nora Anne Quoirin berharap lebih banyak jawapan diperoleh mereka mengenai apa yang berlaku ke atas remaja Ireland itu sepanjang tempoh kehilangannya.

Melalui satu kenyataan di laman sosial Facebook, keluarga remaja berusia 15 tahun itu memaklumkan keputusan awal hasil bedah siasat banyak membantu merungkai tanda tanya mengenai punca kematiannya.

“Anak kami meninggal dunia dalam keadaan yang sukar. Kami amat berharap lebih banyak jawapan diperoleh tidak lama lagi terhadap pelbagai persoalan yang timbul ketika ini.

“Kami juga sedang berusaha untuk memahami apa sebenarnya berlaku ke atasnya sepanjang tempoh 10 hari kehilangannya,” katanya.


Nora Anne Quoirin.

Kenyataan itu dikeluarkan Lucie Blackman Trust, sebuah badan amal yang menguruskan hal ehwal media bagi pihak keluarga mangsa.

Katanya, hari ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bertemu keluarga remaja itu bagi melahirkan rasa simpati di atas kematiannya.

Di kesempatan itu, mereka turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan, polis, pasukan mencari dan menyelamat (SAR), penduduk setempat dan sukarelawan yang tampil membantu mencari Nora Anne.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa Malaysia atas sokongan dan kerjasama dengan kerajaan dan polis luar negara berikutan terus menjalankan siasatan jenayah dan orang hilang.

“Kami akan membawa pulang Nora di mana dia akan disemadikan berhampiran keluarga tersayang sama ada di Perancis dan Ireland,” katanya.

Sementara itu, Lucie Blackman Trust memaklumkan pihak berkuasa Perancis akan terus menjalankan siasatan kerana ia adalah prosedur biasa jika kes membabitkan rakyat Perancis di luar negara.

Walaupun siasatan masih dijalankan, pihaknya menggesa orang ramai terus memberikan maklumat menerusi talian hotline yang masih dibuka.

“Pihak keluarga masih mengharapkan apa sahaja maklumat bagi membantu memberikan penjelasan apa yang sebenarnya berlaku dalam tempoh 10 hari itu.

“Lucie Blackman Trust akan terus menyokong keluarga selagi mana mereka memerlukan sokongan termasuk menghantar pulang serta sokongan lain yang diperlukan.

“Kami juga mengesahkan tiada sebarang ganjaran diberikan atas penemuan mayat Nora Anne,” katanya.

Nora Anne yang hilang pada 4 Ogos lalu selama 10 hari, disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh panjang, selain akibat stres berpanjangan.

Berita Harian X