Jumaat, 16 Ogos 2019 | 8:08pm
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendengar penerangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Riad Asmat (kanan) mengenai tayar pesawat pada majlis lawatan ke Ibu Pejabat AirAsia RedQ, KLIA. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendengar penerangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Riad Asmat (kanan) mengenai tayar pesawat pada majlis lawatan ke Ibu Pejabat AirAsia RedQ, KLIA. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Kerajaan kaji struktur caj perkhidmatan penumpang - PM

SEPANG: Kerajaan akan mengkaji semula struktur caj perkhidmatan penumpang (PSC) yang disifatkan tidak begitu adil untuk penumpang syarikat penerbangan tambang rendah dan penerbangan perkhidmatan penuh.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kerajaan akan meneliti semula kadar yang dikenakan selaras dengan keperluan pihak berkepentingan.

“Ketika ini, kita mengenakan satu peringkat cukai kepada semua penumpang dan ia sebenarnya tidak adil.

“Kita kenakan caj yang sama untuk semua orang sedangkan semua orang adalah berbeza,” katanya kepada media pada sesi lawatan rasmi ke ibu pejabat AirAsia RedQ di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad, Datuk Kamarudin Meranun; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan Pengerusi AirAsia X, Tan Sri Rafidah Aziz.

Perdana Menteri berkata, kadar cukai yang dikenakan perlu mengambil kira faktor kos dan kadar tambang memandangkan setiap penumpang membayar jumlah yang berbeza.

“Jika mereka menggunakan pesawat tambang rendah, adalah tidak adil jika mereka dikenakan cukai lapangan terbang sama sebagaimana mereka yang terbang dengan pesawat lebih mahal (premium),” katanya.

PSC adalah caj yang dikenakan pengendali lapangan terbang kepada penumpang yang berlepas menggunakan kemudahan lapangan terbang.

Baru-baru ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan AirAsia Bhd dan AirAsia X Bhd untuk membatalkan tuntutan berkaitan tunggakan bayaran PSC kepada anak syarikat MAHB, Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB).

Bagaimanapun, AirAsia mula mengutip PSC yang dikenakan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bermula minggu lalu sebagai bantahan terhadap keputusan mahkamah baru-baru ini.

Ini bermakna syarikat penerbangan tambang rendah itu mengutip kadar tambahan RM23 bagi PSC dan perbezaan jumlah itu dipaparkan secara jelas dalam jumlah tambang sebagai ‘PSC (Dalam Bantahan).’

MAHB mengenakan kadar PSC baharu sebanyak RM73 kepada penumpang yang menggunakan terminal klia2 ke destinasi di luar ASEAN sejak Julai tahun lalu iaitu kadar sama dikenakan terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X