Ahad, 18 Ogos 2019 | 8:09am
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.

SUK Pahang umum pengurniaan gelaran, panggilan hormat kerabat

KUANTAN: Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang hari ini, mengeluarkan pengisytiharan pengurniaan gelaran dan panggilan hormat bagi kerabat Diraja Pahang.

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan di sini hari ini, pengurniaan dan gelaran hormat itu diputuskan pada Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Pahang ke-112 yang bersidang pada 15 Ogos lalu.

Berdasarkan pengisytiharan itu, Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom kini dikenali dengan gelaran baharu iaitu Cik Puan Besar Hajjah Kalsom Abdullah.

Pengisytiharan juga membabitkan pengurniaan gelaran kepada tiga putera Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Tengku Amir Nasser menerima pengurniaan baharu iaitu Tengku Panglima Raja manakala Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah mengisi kekosongan gelaran Tengku Arif Bendahara.

Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah pula menerima pengurniaan gelaran baharu iaitu Tengku Panglima Muda.

Putera sulung Sultan Abdullah dan Tunku Azizah, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ditabalkan sebagai Tengku Mahkota Pahang dan Pemangku Raja Pahang pada 29 Januari lalu.

Pengisytiharan itu juga menyebut lima puteri Sultan Abdullah akan menggunakan gelaran Tengku Puteri Raja di hadapan nama mereka. - BERNAMA

Berita Harian X