Ahad, 18 Ogos 2019 | 1:36pm
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye (kiri) melawat Kuil Sri Maha Mariamman, Taman Lapangan Panorama Perdana yang mengalami kerosakan akibat perbuatan khianat. - Foto Muhammad Appendy Issahak

Yakin dengan kebolehan pakar patologi negara - Dr Lee Boon Chye

IPOH: Keputusan keluarga Nora Anne Quoirin untuk menjalankan proses bedah siasat kali kedua terhadap mayat remaja itu di luar negara adalah hak mereka dan itu tidak akan mengubah keyakinan rakyat terhadap kebolehan pakar patologi negara.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata keluarga remaja warga Ireland berkenaan mempunyai hak untuk membuat keputusan terhadap mayat mangsa.

Katanya, keputusan itu bagaimanapun tidak akan menjejaskan reputasi dan kepakaran pakar patologi negara dalam menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kematian remaja berkenaan.

“Itu terpulang kepada keluarga Nora Anne untuk menjalankan proses bedah siasat kali kedua di luar negara.

“Kita yakin kepada profesionalisme pakar patologi dan keputusan proses bedah siasat yang sudah dijalankan itu tidak akan mengubah pandangan serta keyakinan kita terhadap kepakaran mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Kuil Sri Maha Mariamman di Taman Lapangan Panorama Perdana di sini, hari ini.

Dr Lee berkata, apa yang pasti mayat remaja yang mempunyai masalah lembam itu sudah dituntut ahli keluarga dan pakar perubatan negara sudah menjalankan tugas yang baik terhadap kejadian itu.

Media semalam melaporkan, polis mengesahkan tidak menerima sebarang permintaan mahupun dimaklumkan mengenai bedah siasat kedua terhadap mayat Nora Anne Quoirin daripada mana-mana pihak.

Bagaimanapun, media antarabangsa melaporkan, Maebh Jaseprine Quoirin, 46, dan suaminya Sebastian Marie Philipe, 47, menjalankan perbincangan dengan pihak berkaitan bagi memastikan pakar patologi tidak terlepas sebarang bukti yang boleh dikaitkan dengan punca kematian remaja itu.

Laporan media itu turut menyebut, pasangan suami isteri itu meminta bedah siasat itu dilakukan di Britain atau Perancis.

Berita Harian X