Ahad, 18 Ogos 2019 | 2:01pm
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah bersama Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung FELDA Bukit Goh, Jefri Salem (duduk kiri) mendengar penerangan dari penoraka yang terlibat dalam bauksit ketika Sesi Taklimat mengenai pelombongan bauksit di Dewan Orang Ramai Felda Bukit Goh, Kuantan. - Foto Muhd Asyraf Sawal
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah bersama Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung FELDA Bukit Goh, Jefri Salem (duduk kiri) mendengar penerangan dari penoraka yang terlibat dalam bauksit ketika Sesi Taklimat mengenai pelombongan bauksit di Dewan Orang Ramai Felda Bukit Goh, Kuantan. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Gesa kerajaan pusat mempercepatkan aktiviti melombong bauksit

KUANTAN: Kerajaan negeri diminta campur tangan bagi menggesa kerajaan pusat mempercepatkan kebenaran aktiviti melombong bauksit di FELDA Bukit Goh, Bukit Kuantan dan Rancangan Tanah Pemuda (RTP) di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah, berkata keputusan itu sepatutnya diputuskan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) pada pertengahan bulan ini, namun sehingga kini, masih belum menerima sebarang kata putus.

“Saya minta kerajaan negeri campur tangan untuk dipercepatkan kebenaran melombong bauksit ini kerana kalau tidak, akan ada masalah kepada pemilik tanah sebab sudah lama tertangguh.

“Saya ada dengar aktiviti perlombongan bauksit di Kota Tinggi sudah bermula dan kalau di sana tidak ada masalah, kenapa di sini tidak boleh diteruskan? Malah, prosedur operasi standard (SOP) di Gebeng dan Sungai Karang sudah pun diluluskan, cuma, di sini (FELDA Bukit Goh) saja belum,” katanya.

Beliau berkata, keputusan daripada KATS itu penting bagi menentukan hala tuju perlombongan di dua kawasan terbabit yang dilihat mampu menjana pendapatan ekonomi negeri.

Katanya, pihaknya terpaksa melakukan beberapa perancangan jangka pendek dan panjang bagi membantu peneroka yang terbabit dengan aktiviti perlombongan itu termasuk menubuhkan Pertubuhan Gagasan Dua Generasi Kuantan Pahang.

“Pertubuhan ini baru diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 8 Ogos lalu. Tujuannya, bagi membantu peneroka terutama dari segi insuran, pendidikan anak peneroka dan kesihatan.

“Selain itu, kita juga sedang mengumpul surat perjanjian yang dibuat antara peneroka dengan pelombong untuk peguam yang kita lantik menyemak bagi menjamin masa depan peneroka, kerana ada peneroka yang mempunyai dua perjanjian dengan pelombong yang berbeza. Jadi, kita nak tahu status tanah mereka,” katanya.

Md Sohaimi yang ditemui pada sesi taklimat hala tuju peneroka yang terbabit bauksit di FELDA Bukit Goh di sini, berkata terdapat lebih 300 peneroka yang terbabit perjanjian dengan pelombong, namun, setakat ini hanya tujuh peneroka sudah menyerahkan surat perjanjian itu.

Perlombongan bauksit di FELDA Bukit Goh, Bukit Kuantan dan RTP dihentikan sejak Januari 2016 selepas kerajaan menguatkuasakan moratorium dan proses moratorium itu tamat pada 31 Mac lalu.

“Ramai peneroka bergantung kepada kewangan daripada anak-anak dan kalau ada yang masih usahakan ladang kelapa sawit, pendapatan bersih mereka hanya kira-kira RM600 sebulan.

“Jika perlombongan ini diteruskan, memberi lebih pendapatan kepada mereka dan jika tidak dapat diteruskan, kita kena memikirkan mekanisme lain bagi membantu mereka sebab kita tidak tahu sama ada tanah yang sudah dikorek dan diratakan itu boleh ditanam semula dengan tanaman sawit ataupun tidak,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung FELDA Bukit Goh, Jefri Salim, berkata pengumpulan surat perjanjian itu penting bagi menjamin hak peneroka agar mereka tidak tertipu dengan pelombong.

“Ada surat perjanjian yang tiada tarikh luput dan ada peneroka yang mempunyai perjanjian bertindih (lebih daripada satu perjanjian). Ini yang kita bimbangkan kerana di mana nasib tanah mereka, sama ada masih menjadi hak mereka atau sudah ditukar milik.

“Kita takut pengusaha (pelombong) saman pihak FELDA dan pemilik. Jadi, kita minta semua peneroka yang terbabit segera menyerahkan surat perjanjian mereka untuk kita proses (semak). Kita tidak mahu nanti ada pengusaha baharu datang menjanjikan pelbagai tawaran kepada peneroka sedangkan perjanjian lama masih berjalan,” katanya.

Berita Harian X