Isnin, 19 Ogos 2019 | 9:24am

Biasiswa Kecil PETRONAS ubah kehidupan Aliman

Kuala Lumpur: PETRONAS bukan sahaja gah di mata dunia sebagai sebuah syarikat minyak dan gas, tetapi juga berjaya melahirkan modal insan terbaik, seiring pembangunan dan kejayaan negara yang dinikmati pada hari ini.

Sejak awal penubuhannya, PETRONAS sentiasa memberi perhatian utama dalam aspek memastikan kualiti modal insan dapat diperoleh sebagai satu daripada tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat.

Pengurus Kanan, Kumpulan Penyampaian Projek Syarikat, Aliman Ibrahim, 48, adalah seorang daripada yang mendapat manfaat komitmen PETRONAS membangunkan modal insan.

Beliau adalah antara penerima Biasiswa Kecil PETRONAS (BKP) ketika menuntut Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Sains, Dungun, Terengganu.

Bermula dari detik awal itu, Aliman memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan untuk mengubah nasib diri dan keluarga.

Aliman ketika ditemui di pejabatnya di Menara Kembar PETRONAS berkata, beliau menganggap terpilih menerima BKP sebagai satu peluang keemasan dan juga ‘tiket’ untuk beliau berjaya dalam pendidikan, seterusnya mengubah kehidupan keluarga.

Katanya, biasiswa yang diperoleh digunakan sebaiknya dengan cara memastikan beliau mendapat keputusan terbaik setiap kali menghadapi peperiksaan.

“Alhamdulillah, saya berjaya membuktikan kepada PETRONAS bahawa kepercayaan yang diberi melalui biasiswa itu digunakan sebaiknya menerusi pencapaian keputusan peperiksaan yang cemerlang. Hasilnya, terus mendapat kepercayaan PETRONAS yang turut memberi biasiswa bagi menyambung pengajian dalam bidang Kejuruteraan Elektrik di University of Tennessee, Amerika Syarikat, selama lima tahun di bawah Program Tajaan Pendidikan PETRONAS (PESP).

“Saya ibaratkan PETRONAS sudah menjaga saya sejak usia 12 tahun hingga tamat belajar pada usia 22 tahun. Saya juga terharu kerana sedar dengan biasiswa itu saya dapat meringankan beban keluarga yang tidak lagi perlu bimbang. Ibu saya terutamanya, tidak lagi risau kerana difikirannya syarikat minyak negara sentiasa ‘menjaga’ kebajikan anaknya dalam meneruskan pengajian. Saya hanya perlu tekun belajar.

“Sejak itu saya sentiasa menanam hasrat untuk bekerja bersama syarikat minyak negara sebagai satu daripada cara membalas budi,” katanya.

Hasrat Aliman tercapai pada 1995 apabila PETRONAS menawarkan peluang pekerjaan kepada beliau sebagai seorang Jurutera Elektrikal.

“Alhamdulillah, bermula pada jawatan pertama itu, sehingga kini banyak pengalaman saya peroleh dan melalui kitaran penuh dalam memenuhi jawatan bersesuaian dengan kelayakan yang diperoleh. Malah, saya juga diberi peluang untuk bertugas di luar negara seperti di Sudan dan Iraq, satu pengalaman unik buat saya.

“Jujur saya akui, tidak terbalas budi PETRONAS yang membolehkan saya mengubah nasib dan membantu keluarga menjalani kehidupan lebih baik. Saya juga berharap, ada antara anak saya yang dapat menabur bakti di syarikat ini,” katanya lagi.

Aliman yang mempunyai lima anak berkata, budaya kerja di PETRONAS adalah seperti berada dalam satu keluarga besar.

Hubungan antara pekerja tidak terbatas kepada hubungan antara ketua dan kakitangan. Faktor semangat kekeluargaan juga menjadikan beliau tekad untuk meneruskan tugas di syarikat minyak itu.

“Kakitangan PETRONAS bagaikan sebuah keluarga kerana ia bermula daripada sebuah syarikat kecil dan kini berkembang menjadi semakin besar sehingga ke peringkat antarabangsa. Sifat rendah diri dan saling menghormati dalam kalangan kakitangan sentiasa ditanam di jiwa kami.

“Saya setuju jika ada yang berkata, PETRONAS menjadi antara tulang belakang kejayaan pembangunan negara ini. Apa yang dilaburkan adalah untuk kepentingan semua.’’

Aliman mengakhiri perbualan dengan berkata, generasi sekarang haruslah faham kepayahan yang ditempuhi PETRONAS dan kakitangan terdahulu dan seterusnya membawa PETRONAS ke peringkat yang lebih cemerlang pada masa hadapan.

Sejak perlaksanaannya pada 1975, secara keseluruhan PESP telah memberi manfaat kepada lebih 36,800 pelajar dengan nilai perbelanjaan lebih RM3.3 bilion.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X