Isnin, 19 Ogos 2019 | 12:23pm
PENSYARAH di Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Jabatan Kejuruteraan Infrastruktur dan Geomatik, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor, Prof Datuk Dr Mohd Idrus Mohd Masirin.
PENSYARAH di Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Jabatan Kejuruteraan Infrastruktur dan Geomatik, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor, Prof Datuk Dr Mohd Idrus Mohd Masirin.

Sistem tram pelengkap pengangkutan awam bandar

SEREMBAN: Sistem pengangkutan awam Malaysia, yang satu ketika dahulu lebih banyak bergantung kepada perkhidmatan bas untuk pergerakan seharian masyarakat, kini semakin berevolusi selari dengan kemajuan yang dicapai zaman semasa.

Sistem pengangkutan bandar di negara ini, menurut Prof Datuk Dr Mohd Idrus Mohd Masirin bermula dengan perkhidmatan bas pada sekitar awal tahun 60-an, sebelum pengangkutan persendirian mula mengambil tempat pada sekitar tahun 70-an dan 80-an, sehingga kini.

Pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Jabatan Kejuruteraan Infrastruktur dan Geomatik, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor itu, berkata serentak itu bagi menampung bilangan penduduk yang semakin meningkat khususnya di bandar-bandar besar dan bandar raya, sistem pengangkutan rel dan transit pada awalnya, telah diwujudkan dan diperluaskan.

Mengambil contoh Kuala Lumpur, beliau berkata sistem pengangkutan rel bermula dengan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Transit Aliran Ringan (LRT) dan monorel, sebelum diperkenalkan dengan sistem Transit Ali­ran Massa (MRT), yang kesemuanya diwujudkan bertujuan memudahkan pergerakan masyarakat, dari kawasan sekitar bandar, ke pusat bandar dengan lebih efisien.

“Sistem LRT dan monorel adalah sistem dalam bandar, manakala MRT dan komuter serta Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) adalah untuk menghubungkan kawasan bandar dan sub-bandar,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Mohd Idrus yang juga Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) berkata, bagi memperkasa dan membangunkan industri rel tempatan, serta meningkatkan keberkesanan sistem pengangkutan dalam bandar, sudah tiba masanya sistem tram diperkenal dan diwujudkan, oleh kerajaan.

Katanya ini sekali gus akan menjadi pelengkap kepada pengangkutan awam sedia ada di negara ini, serta mampu meningkatkan lagi mobiliti penduduk khususnya di dalam bandar.

“Sistem tram yang dicadangkan ini seharusnya mempunyai sistem ‘signalling’ dan kawalan pusat operasi yang menggunakan teknologi digital terkini.

“Walaupun sekali imbas sistem ini seakan sistem LRT, tetapi memandangkan saiz dan kesesuaiannya untuk melalui kawasan jalan raya sedia ada, tram dilihat pada masa hadapan adalah pengganti kepada sistem bas. Sistem tram ini juga boleh diintegrasikan dengan semua sistem pengangkutan awam yang lain,” katanya.

Pada 6 Mac tahun lepas, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dipetik sebagai berkata sistem tram akan diperkenalkan di Putrajaya, Cyberjaya, Kajang dan Bangi.

Kelestarian sesebuah bandar raya kata Mohd Idrus, banyak bergantung kepada perancangan dan pelaksanaan yang strategik, dalam mewujudkan sistem pengangkutan awam yang berkesan dan mampan.

“Terdapat beberapa faktor utama dalam mewujudkan sistem pengangkutan rel yang mampan bagi bandar yang perlu diambil kira iaitu, kemampuan dan keselamatan pengguna, keberkesanan sistem, nisbah kos terhadap manfaat, serta kemampuan sistem operasi bagi jangka pendek serta jangka panjang,” katanya.

Selain itu katanya, penggunaan teknologi baru selaras dengan perkembangan Revolusi Industri Keempat (IR4.0) adalah amat digalakkan, bagi memastikan sistem tram yang akan diwujudkan itu lebih efisien dan berdaya saing.

“Perkara yang lebih penting ialah pemain dalam industri pengangkutan khususnya rel, perlulah lebih proaktif dan sentiasa melaksanakan penambahbaikan kaedah penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X