Isnin, 19 Ogos 2019 | 7:20pm
PERDANA Menteri, Mahathir Mohamad.

Sikap EU terhadap sawit satu penjajahan moden - PM

KUALA LUMPUR: Tindakan Kesatuan Eropah (EU) mengharamkan penggunaan bahan bakar biofuel berasaskan sawit di negara anggotanya termasuk Britain, adalah hipokrit dan satu bentuk penjajahan moden yang tiada tempat dalam dunia hari ini, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, meskipun EU memberikan justifikasi terhadap larangannya itu di atas sebab alam sekitar, ia sebenarnya dibuat untuk melindungi industri pertanian di beberapa negara anggotanya.

“Sekatan itu, di sebalik usaha terbaik kita, boleh mencetuskan perang perdagangan bersama negara-negara pengeluar.

“Jika Eropah begitu bimbang dengan impak alam sekitar penanaman sawit, mengapa ia memeterai perjanjian perdagangan bersama Amerika Selatan?

“Pengeluaran daging lembu di sana setakat ini adalah punca penebangan pertanian terbesar dunia yang jauh mengatasi pelepasan karbon dioksida oleh sawit,” katanya dalam satu penulisan di Bloomberg Opinion.

Pada 2017, Parlimen Eropah meluluskan resolusi untuk mengurangkan, sebelum mengharamkan semua biofuel yang dihasilkan menggunakan asas sawit, sekali gus menjejaskan pengeluar utama iaitu Malaysia dan Indonesia.

Tindakan Eropah itu dibuat atas dakwaan penanaman sawit adalah tidak lestari dan memusnahkan hutan.

Dr Mahathir berkata, Eropah menghasilkan minyak dari sumber bijian yang jauh lebih tidak cekap dan menggunakan tanah hutan lebih luas berbanding sawit, sehingga diberi amaran oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Konservasi Alam Sekitar.

“EU juga dengan sengaja tidak mengendahkan perkembangan negara pengeluar sawit dalam memperkenalkan mekanisme pensijilan untuk pengeluaran sawit mampan.

“Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sudah diadaptasi beberapa buah negara,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan, Malaysia tidak akan mengabaikan aspek pemusnahan hutan dan kelestarian alam sekitar dalam setiap keputusan perdagangan.

“Jawapan kepada kegusaran alam sekitar adalah bukannya dengan mengharamkan satu jenis komoditi. Ini hanya akan membolehkan EU menggunakannya sebagai alasan untuk menyalahkan negara Asia Pasifik, walaupun rantau itu sendiri menggunakan pengeluaran daging yang banyak membabitkan penebangan hutan,” katanya.

Sawit, minyak sayuran paling banyak digunakan di dunia boleh ditemui dalam banyak benda, daripada biskut hinggalah syampu dan bio-bahan api.

Namun, ia sentiasa berdepan serangan daripada kumpulan pejuang alam sekitar yang mengatakan penanamannya menyebabkan penebangan hutan dan mencetuskan perubahan iklim.

EU mengenakan had yang lebih ketat mengenai bagaimana minyak sawit boleh digunakan dalam bahan api mesra alam.

Namun, ia dijangka akan dicabar oleh pengeluar terbesarnya, Indonesia dan Malaysia, melalui Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan saluran lain.

Dr Mahathir menggesa dialog dan libat urus diadakan bagi mencapai penyelesaian bersama, termasuk kawal selia lebih baik dan standard persijilan lebih mantap.

“Inilah sebabnya mengapa Malaysia masih menawarkan persahabatan dengan EU dengan harapan hubungan perdagangan yang adil, jujur dan saksama boleh dijalin.

“Menjadikan ini satu realiti bergantung kepada apa yang perlu dilakukan oleh EU mengikut nasihat pakar alam sekitar, iaitu memberikan insentif pengeluaran sawit yang lestari berbanding meneruskan boikot dan perlindungan,” katanya.

Berita Harian X