Selasa, 20 Ogos 2019 | 2:01am
PENCERAMAH bebas, Dr Zakir Naik. - Foto Fathil Asri

Zakir Naik selesai beri keterangan hampir 10 jam

KUALA LUMPUR: Penceramah bebas, Dr Zakir Naik selesai memberi keterangan kali kedua kepada polis selepas hampir 10 jam menjalani proses itu di Bukit Aman, di sini.

Beliau dipanggil ke Bukit Aman berhubung ceramahnya yang didakwa berbaur perkauman di Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini.

Beliau meninggalkan Bukit Aman pada jam 1.30 pagi tadi dengan menaiki sebuah kenderaan Toyota Innova berwarna hitam.

Sebelum itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, dalam satu kenyataan, semalam memaklumkan Zakir tiba di Bukit Aman pada jam 3.15 petang.

“Dr Zakir hadir ke pejabat Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5) bersama peguamnya, Datuk Akhberdin Abd Kadir.

“Ia bagi sambungan percakapan beliau mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya.

Sabtu lalu, Huzir dalam satu kenyataan, memaklumkan rakaman percakapan terhadap Zakir dibuat susulan dua aduan yang diterima terhadap pendakwah terkenal itu.

“Satu aduan diterima berhubung video ceramah yang disampaikan Dr Zakir menyatakan penganut Hindu tidak menyokong Perdana Menteri Malaysia sebaliknya menyokong Perdana Menteri India.

“Satu lagi aduan pula diterima mengenai kenyataan Dr Zakir dalam sebuah artikel portal berita meminta kaum Cina untuk keluar dari Malaysia,” katanya.

Huzir turut memaklumkan polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan.

Jumaat lalu, Zakir memberi keterangan kali pertama kira-kira lima jam di Bukit Aman untuk membantu siasatan berhubung perkara itu.

Zakir dalam ceramahnya di Kota Bharu, pada 3 Ogos lalu dilaporkan membuat kenyataan kontroversi mengenai penganut Hindu dan kaum Cina di Malaysia.

Berita Harian X