Selasa, 20 Ogos 2019 | 7:05pm
PENGERUSI Majlis Dakwah Negara (MDN), Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid (tengah) pada sidang media Anugerah Kecemerlangan Islam di Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Pondok Perdana MDN, Tan Sri Zulkurnain Awang dan Penasihat Projek Anugerah Kecemerlangan Islam (AKI), Nordin Mahamud. - Foto Rohanis Shukri

Anugerah Kecemerlangan Islam beri pengiktirafan berprestij

KUALA LUMPUR: Anugerah Kecemerlangan Islam yang berprestij bagi mengiktiraf ketokohan individu dan organisasi bakal diadakan buat julung kali pada 11 Disember depan.

Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid, berkata 16 anugerah akan disampaikan atas kejayaan individu dalam pelbagai bidang termasuk akademik, korporat, perniagaan dan khidmat masyarakat.

Katanya, ia akan dinilai berdasarkan empat kriteria utama iaitu kadar pertumbuhan, pembangunan modal insan, inovasi dan penerapan nilai Islam.

“Anugerah ini berdasarkan falsafah di Malaysia, kita mempunyai ramai pihak termasuk pertubuhan, sukarelawan, budaya, agama dan politik.

“Namun, kita hanya pandai mengkritik kesilapan orang lain dan mencetus perbalahan khususnya di media elektronik. Ini tidak sihat dalam perkembangan minda anak-anak, kita tidak mahu mereka mewarisi minda suka mempertikai keburukan orang lain.

“Anugerah ini adalah ilham terhadap situasi sekarang dan bagaimana sikap kita memperjuangkan Islam dalam negara,” katanya pada sidang media Anugerah Kecemerlangan Islam, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Pondok Perdana MDN, Tan Sri Zulkurnain Awang dan Penasihat Projek Anugerah Kecemerlangan Islam (AKI), Nordin Mahamud.

Antara kategori diberikan seperti anugerah ulung Harun Ar-Rasyid, anugerah tokoh korporat Ibn Khaldun dan anugerah tokoh wanita Lubna Al-Qurtubiyya.

Selain itu, terdapat juga anugerah khas perpaduan bagi calon bukan Islam dan anugerah antarabangsa yang terbuka kepada warga asing.

Sementara itu, Zulkarnain berkata, siri pertama anugerah ini adalah pengenalan dan akan diteruskan, tetapi tiada ketetapan mengadakan anugerah ini setiap tahun kerana MDN lebih mengutamakan kualiti tokoh penerima.

“Sasaran kita adalah kualiti tanpa had jumlah pencalonan. Jika banyak pencalonan tetapi tiada kualti, anugerah tidak akan diberi,” katanya.

Berita Harian X