Rabu, 21 Ogos 2019 | 3:11pm
PENGARAH Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) PDRM, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani (kanan) memakaikan sayap penerbangan kepada Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah pada Majlis Penutupan Kursus Pengurusan Pemantapan Media Sosial Ke Arah Kecemerlangan Organisasi AADK 2019 di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU), Ipoh. - Foto Abdullah Yusof

AADK bersedia salur kepakaran bantu PDRM

IPOH: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bersedia menyalurkan kepakaran bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengatasi isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan anggota pasukan keselamatan itu.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah, berkata justeru pihaknya akan menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) untuk berbincang jika PDRM memerlukan kepakaran dimiliki agensi itu.

“AADK ada menyediakan program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) yang membantu pelbagai agensi. Sehubungan itu, jika PDRM menginginkan bantuan, kita sanggup membantu.

“Saya akan berhubung dengan JSJN jika ada keperluan menggunakan kepakaran dimiliki AADK untuk menentukan peraturan tertentu di jabatan bagi mengelakkan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Kursus Pengurusan Pemantapan Media Sosial Ke Arah Kecemerlangan Organisasi AADK 2019 di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) PDRM, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, dan Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, AADK sudah mengadakan program TEKAD di pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan bagi membantu menyediakan tempat kerja bebas dadah, sekali gus lebih selamat.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, berkata lebih 100 anggota polis dikesan positif dadah menerusi Op Blue Devil yang dijalankan di setiap kontinjen sejak minggu lalu.

Abdul Hamid dipetik sebagai berkata, kesemua anggota dikesan positif dadah melalui operasi itu yang bermula 13 Ogos, dan beliau turut terkejut dengan jumlah berkenaan yang disifatkan berada pada tahap kritikal serta serius.

Berhubung perkembangan model projek rintis membasmi penyalahgunaan dadah secara bersepadu yang dilaksanakan AADK di 12 kawasan berisiko tinggi di ibu kota dan enam negeri sejak bulan lalu pula, Zulkifli berkata, hanya 61 penagih datang secara sukarela untuk dirawat, setakat ini.

Beliau berkata, jumlah itu terlalu sedikit berbanding jumlah keseluruhan penagih dianggarkan seramai 3,000 orang di kawasan terbabit.

“Program ini akan diteruskan dalam tempoh enam bulan. Namun, jumlah penagih yang datang secara sukarela masih sedikit walaupun pelbagai program turun padang diadakan.

“Masyarakat seharusnya turut membantu kita bagi membolehkan penagih datang secara sukarela. AADK hendak membantu, penagih adalah pesakit dan pesakit seharusnya mendapatkan rawatan untuk dipulihkan,” katanya.

Berita Harian X