Rabu, 21 Ogos 2019 | 6:59pm
TIMBALAN Ketua Pengarah (Kesihatan Pekerjaan) Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia, Ir Saiful Azhar Mohd Said berucap di majlis perasmian Seminar Kesihatan Pekerjaan Peringkat Zon Pantai Timur 2019 di Dewan Gamelan, Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu. - Foto Imran Makhzan

7,258 kes penyakit, keracunan pekerja tahun lalu

KUALA TERENGGANU: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menerima sebanyak 7,258 kes penyakit dan keracunan pekerjaan membabitkan pekerja di pelbagai sektor, terutama sektor perkilangan, tahun lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Pekerjaan) JKKP, Saiful Mohd Said, berkata jumlah pekerja yang kehilangan pendengaran akibat kebisingan adalah yang tertinggi iaitu seramai 6,625 pekerja atau 88 peratus.

Beliau berkata, kes pekerja yang menghidap masalah tulang dan otot adalah seramai 301 orang atau empat peratus dan 226 orang atau tiga peratus pekerja menghidap penyakit kulit, manakala lima peratus atau 376 pekerja menghidap pelbagai penyakit lain.

“Majikan serta pengamal perubatan termasuk doktor kesihatan pekerjaan yang berdaftar dengan JKKP diminta sentiasa mematuhi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP).

“Pematuhan KKP jika diamalkan boleh meningkatkan kualiti hidup pekerja seterusnya menyumbang kepada peningkatan produktiviti serta Indeks Komponen Persekitaran Kerja Di bawah Kesejahteraan Rakyat bertepatan dengan dasar dan pelan transformasi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Kesihatan Pekerjaan Peringkat Zon Pantai Timur, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengarah JKKP Terengganu, Mohd Zahari Hitam; Pengarah Bahagian Kesihatan Kesihatan Pekerjaan JKKP, Dr Ahmad Fitri Abdullah Hair dan Ketua Seksyen JKKP Pahang, Dr Kesavan Govindasamy.

Saiful berkata, majikan, pekerja serta pengamal KKP diminta berusaha untuk mempertingkatkan tahap pematuhan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam usaha mewujudkan negara sebagai tempat kerja yang selamat dan sihat kepada semua lapisan masyarakat.

Katanya, doktor kesihatan dan pekerjaan bertanggungjawab serta berperanan membangkitkan kesedaran dalam kalangan majikan dan pekerja untuk melapor kes penyakit dihidapi pekerja di pelbagai sektor terutama membabitkan sektor perkilangan.

Ketika mengulas lanjut punca utama kes penyakit dihidapi pekerja lewat dilaporkan, Saiful berkata, kebanyakan penyakit yang dihidapi pekerja dikesan selepas mereka bersara.

Berita Harian X