Rabu, 21 Ogos 2019 | 9:13pm

MOA laksana langkah berterusan tingkat tadbir urus

KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) sentiasa melaksanakan langkah secara berterusan dalam meningkatkan ketelusan dan tadbir urus yang baik bagi pemberian Kelulusan Kuota import (AP) serta proses pengimportannya.

Ketua Setiausaha MOA, Datuk Mohd Sallehuddin Hassan berkata, langkah pemutihan yang dilaksanakan pada 2018 mendapati, sebanyak 63 syarikat tidak memperbaharui AP atas pelbagai faktor seperti pematuhan prosedur dan prestasi kurang memuaskan.

“MOA juga akan memantau prestasi syarikat yang diberikan AP dan akan mengambil tindakan sewajar sekiranya tidak mencapai prestasi ditetapkan.

Selain itu, Piawaian Prosedur Operasi (SOP) dalam penilaian permohonan AP ditambah baik bagi memastikan ketelusan pemberian AP pada peringkat Jabatan Pertanian(DOA) dan MOA,” katanya dalam siaran media bagi menjelaskan beberapa kekeliruan dibangkitkan berhubung laporan Kajian Semula Pasaran Sektor Makanan dibawah Akta Persaingan 2010 yang dikeluarkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia(MYCC) pada 6 Ogos lalu.

Kelulusan AP diperlukan untuk tanaman seperti kobis bulat dan daging.

Mohd Sallehuddin berkata, pemegang AP perlu mengisi akuan sumpah berpandukan Government Integrity andAnti-Corruption Commission (GIACC) untuk membolehkan tindakan diambil sekiranya dikenalpasti menyalahgunakan AP seperti menjual kepada pihak ketiga.

Langkah ini juga akan mengekang wujudnya lapisan tambahan atau pihak ketiga dalam rantaian pembekalan kubis bulat.

Berdasarkan analasis aliran harga kubis bagi tempoh2008 hingga 2019, tidak dapat dinafikanbahawa terdapat kenaikan harga pada bulan yang dilaporkan oleh MyCC.

Perubahan harga ini berlaku pada masa tertentu sahaja dan bergantung kepada faktor seperti perubahan musim penanaman antara Mei hingga Julai di negara pengeluar, kadar tukaran matawang USD-MYR yang mengalami peningkatan ketara dalam tempoh itu selain peningkatan dalam permintaan pada musim perayaan.

Aliran peningkatan harga ini adalah selari dengan harga produk makanan lain seperti buah-buahan, ikan dan makanan laut.

Katanya, MOA menyarankan, agar KPDNHEP membanteras aktiviti pengambilan untung berlebihan dalam kalangan pemegang AP melalui penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 sekiranya salah laku itu dapat dibuktikan berlaku dan menjadi penyumbang kepada kenaikan harga kubis bulat di pasaran secara melampau.

“Bagi isu berkaitan bekalan daging berfokus kepada dua negara sumber iaitu India dan Australia, Kementerian sudahpun membuka ruang pengimportan daging dari beberapa negara, termasuk Amerika Syarikat, Pakistan, Brazil dan New Zealand serta negara Asia Tengah bagi memastikan kecukupan bekalan daging dalam negara (Food Security).

“Terdapat 53 abatoir dari seluruh dunia yang boleh membekalkan daging ke Malaysia buat masa ini,” katanya,

Dalam pengimportan daging, semua syarikat yang layak boleh memohon untuk mengimport daging dari negara sumber, tertakluk kepada syarat sanitari dan Fitosanitari (SPS) dan garis panduan antarabangsa seperti World Organisation for Animal Health (OIE).

Keselamatan makanan juga berpandukan kepada Garis panduan Codex dan Malaysia Standard MS 1480:2007,MS1514:2009 serta MS1500:2009 (Halal) yang dipersetujui oleh kedua-dua negara.

Tugas memastikan sumber daging adalah selamat dan halal untuk dimakan dipertanggungjawabkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia(MAQIS) yang menjaga 57 pintu masuk negara.

MAQIS akan memastikan, setiap daging import yang dibawa masuk mempunyai Permit Import (IP) yang sah, Sijil Kesihatan Veterinar, Sijil Halal dan Sijil Phyto.

Melalui kawalan ketat ini, sumber daging dapat dipastikan halal dan bebas penyakit serta selamat untuk dimakan.

Kerajaan tidak akan berkompromi dari segi kepatuhan terhadap SPS demi memastikan keselamatan makanan yang diimport.

Untuk makluman, MOA juga dalam usaha untuk meminda Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta728] bertujuan memperluaskan fungsi dan bidang kuasa MAQIS.

Perluasan kuasa itu tidak akan menghadkan kuasa MAQIS kepada pintu masuk sahaja tetapi juga di luar pintu masuk, pusat dan stesyen kuarantin.

Tidak dinafikan bahawa peranan Orang Tengah adalah penting dalam rantaian pemasaran makanan.

Walau bagaimanapun, OrangTengah yang mengaut keuntungan melampau perlu dibanteras, manakala lapisan

Orang Tengah di peringkat pemborongan perlu dikurangkan bagi memastikan pengeluar mendapat pulangan yang optimum dan pengguna membayar pada harga berpatutan.

“MOA ingin menyarankan supaya satu kajian susulan dilaksanakan untuk mengenal pasti langkah terbaik yang boleh diambil oleh kerajaan bagi menangani isu kecekapan keseluruhan rantaian pemasaran makanan, termasuk kajian ke atas rantaian pemasaran input pertanian,” katanya.

KETUA Setiausaha MOA, Datuk Mohd Sallehuddin Hassan. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Berita Harian X