Khamis, 22 Ogos 2019 | 5:48pm
Isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah (tengah) memotong kek sempena sambutan ulang tahun ke-20 Rumah Ronald McDonald UKM, hari ini. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Siti Hasmah rai ulangtahun ke-20 Rumah Ronald McDonald

KUALA LUMPUR: Selepas dua dekad merasmikan Rumah Ronald McDonald (RRM) di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM-UKM), Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali kembali meraikan ulang tahun ke-20 kediaman itu, di sini, hari ini.

Dr Siti Hasmah, berkata beliau amat berbangga dengan komitmen berterusan yang ditunjukkan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia) dan HCTM-UKM dalam usaha membantu keluarga pesakit pediatrik untuk berada dekat dengan anak-anak yang menjalani rawatan.

“Jangka masa 20 tahun bukanlah tempoh singkat, saya terharu dengan komitmen dan sokongan semua pihak untuk memastikan kemudahan seperti ini dapat dikekalkan.

“Saya amat berbesar hati kerana dapat bersama ibu bapa dan pesakit untuk sambutan kali ini... Kita perlulah berjuta-juta kali bersyukur kerana masih ada golongan yang memikirkan untuk membantu keluarga tidak bernasib baik,” katanya ketika memberi ucapan ringkas pada Majlis Sambutan Ulangtahun ke-20 RRM, di sini, hari ini.

Dr Siti Hasmah yang tiba kira-kira jam 3.15 petang meluangkan masa hampir satu jam untuk bersama-sama keluarga dan pesakit di RRM dan beramah mesra bersama hadirin.

Rumah penginapan dalam hospital yang pertama di rantau Asean itu ditubuhkan pada tahun 1999 oleh RMHC Malaysia bertujuan meringankan beban keluarga pesakit pediatrik yang dirawat di HCTM-UKM dan hospital-hospital berdekatan.

Seramai 1,300 pesakit pediatrik yang menjalani rawatan di HCTM-UKM sudah menginap di kediaman ini sejak ia ditubuhkan.

Bayaran penginapan dikenakan hanyalah RM5 untuk satu malam dan mampu memuatkan 19 keluarga pada satu-satu masa dengan pelbagai kemudahan disediakan.

Berita Harian X