Khamis, 22 Ogos 2019 | 6:51pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto BERNAMA

Kalau rasa tak selamat jangan naik - PM

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak memaksa rakyat untuk menggunakan perkhidmatan teksi motosikal atau GoJek jika ada kebimbangan berhubung soal keselamatan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kalau rasa tak selamat jangan naik, kita ada pilihan dan kita tidak memaksa untuk menaiki motosikal (GoJek),” kata Perdana Menteri kepada media selepas Majlis Perjumpaan Pegawai Kerajaan Bersama Perdana Menteri di sini hari ini.

Mengenai pelbagai pihak menolak langkah kerajaan untuk memperkenalkan perkhidmatan itu termasuk melalui undian di portal berita, Dr Mahathir berkata setiap cadangan pasti ada pihak yang setuju dan menolaknya.

Beliau juga menjelaskan ada tawaran lain untuk perkhidmatan teksi motosikal beroperasi di Malaysia, namun kesemua itu masih tidak tersusun dan tidak dapat dimanfaat oleh peniaga kecil.


Kerajaan perlu membuat kajian lebih mendalam sebelum melaksanakan perkhidmatan teksi motosikal atau GoJek di negara ini. - Foto hiasan

“Tetapi GoJek apabila mereka datang ke sini, mereka akan berkhidmat kepada golongan peniaga kecil,” katanya.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dilaporkan berkata, selain memberi peluang pekerjaan kepada ‘Mat Motor, pelaksanaan GoJek bertujuan membantu usahawan muda.

Beliau dilaporkan berkata, Kabinet semalam sebulat suara meluluskan GoJek atau Dego Ride dan kerajaan ikhlas ingin memastikan golongan Mat Motor mendapat peluang pekerjaan.

Berita Harian X