Khamis, 22 Ogos 2019 | 7:16pm
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media pada Majlis Perjumpaan Pegawai-Pegawai Kerajaan Bersama Perdana Menteri Sesi 2 di Dewan Seri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya hari ini. - Foto BERNAMA

Kerajaan masih kaji tawaran Maju Holdings

PUTRAJAYA: Kerajaan masih mengkaji tawaran Maju Holdings Sdn Bhd (Maju Holdings) untuk mengambil alih Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata kerajaan masih meneliti cadangan pengambilalihan yang dikemukakan Maju Holdings itu, termasuk mengurangkan kadar tol.

“Tapi kena ada tol (di lebuh raya PLUS), tak ada tol dia (Maju Holdings) tak boleh beli, dia tak dapat balik duit.

“Proposal (cadangan) termasuk mengurangkan kadar tol dan dia nak buat macam-macam lagi, nak perbaiki jalan... jadi kita sedang timbang,” katanya kepada media selepas Majlis Perjumpaan Pegawai Kerajaan Bersama Perdana Menteri di sini, hari ini.

Sebelum ini, Maju Holdings dilapor mengemukakan tawaran baharu untuk mengambil alih PLUS.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, dilaporkan berkata kerajaan menolak tawaran itu selepas mengambil kira pandangan pemegang saham utama syarikat konsesi tol terbabit.

Guan Eng dipetik berkata pemegang saham utama PLUS, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak bersetuju dengan tawaran pengambilalihan itu.

Bulan lalu, Menteri Kerja Raya, Baru Bian, berkata tidak ada jangka masa ditetapkan oleh pihak kementerian untuk menjalankan perbincangan mengenai tawaran yang dikemukakan oleh Maju Holdings.

Sebaliknya, katanya, kerajaan pada masa ini memberi tumpuan untuk menjalankan kajian yang holistik bagi menentukan hala tuju tol di negara ini.

Sementara itu, mengulas cadangan Khazanah menghantar kertas cadangan pengambilalihan 15 lebuh raya kepada kerajaan, Dr Mahathir berkata apa yang menjadi masalah ialah tol tetap perlu dikenakan kerana pengendali memerlukan wang untuk menyelenggara lebuh raya.

“Perkara lain ialah jika kita berjaya beli (konsesi tol), kita perlu wang untuk menyelenggara lebuh raya dan ini menyebabkan kita perlu mengekalkan tol.

“Jadi, orang awam harus memahami masalah yang kita hadapi... kita masih melihatnya,” katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan kerajaan menerima kertas cadangan baharu bagi mengambil alih 15 lebuh raya termasuk PLUS pada harga keseluruhan RM43 bilion.

Khazanah kemudiannya akan membuka sebuah syarikat khas (SPV) yang dipanggil pemegang amanah lebuh raya, yang mana ia akan bertindak bagi pihak kerajaan untuk membeli semua konsesi.

Berita Harian X