Khamis, 22 Ogos 2019 | 9:21pm
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

MSN setuju kaji semula keberkesanan kempen pencegahan dadah

KUALA LUMPUR: Majlis Sosial Negara (MSN) dalam mesyuarat hari ini memutuskan untuk mengkaji semula keberkesanan kempen pencegahan dadah dalam kalangan remaja dengan menjurus ke arah menangani punca penagihan dari segi sosial.

Kaedah menangani penyalahgunaan dadah juga harus selaras dengan hasrat kerajaan untuk dekriminalisasi penagihan dadah, serta akan membabitkan kerjasama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

MSN, dalam satu kenyataan, berkata mesyuarat dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu juga bersetuju dengan cadangan menggubal satu akta baharu yang lebih inklusif dan komprehensif.

Ia adalah untuk menangani isu gelandangan dan pengemis dengan mengambil kira kuasa dan peranan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), kerajaan negeri serta kerajaan Persekutuan.

Turut dipersetujui dalam mesyuarat itu ialah pelaksanaan program rintis ExoCamp (Explore, Experience, Extreme and Organise) oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Mesyuarat juga bersetuju dengan penambahbaikan kerjasama antara kementerian itu dan PBT untuk menyediakan intervensi jangka masa panjang di kawasan perumahan bagi menangani isu gejala sosial di kalangan remaja.

Mesyuarat turut mengambil maklum dan bersetuju dengan pembentangan empat kertas makluman iaitu Perkongsian Data berkaitan Isu Pembuangan Bayi oleh Kementerian Dalam Negeri serta Transformasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) oleh Kementerian Sumber Manusia.

Dua lagi ialah Program Pengkhususan Pengendalian Kes Hadhanah dan Nafkah serta Pewujudan Bahagian Penguatkuasaan dan Pelaksanaan Di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan Projek Rintis ‘Diversion’ oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Dalam mesyuarat berkenaan, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menyentuh mengenai pembangunan negara berasaskan prinsip Kemakmuran Bersama yang disampaikan menerusi perutusan perdana oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada 9 Mei lalu.

Timbalan Perdana Menteri turut menegaskan, pelaburan ke atas intervensi isu-isu sosial harus jadi keutamaan kerajaan sekiranya ingin Malaysia membangun dalam semua aspek.

Selain daripada penambahbaikan dasar dan pelaksanaan intervensi melalui kerjasama pelbagai agensi kerajaan, pelaburan melalui perjawatan yang kukuh serta peruntukan yang mencukupi juga adalah amat penting.

MSN ditubuhkan sebagai jentera pelaksana Dasar Sosial Negara yang juga dasar payung merangkumi falsafah dan pelbagai dasar pembangunan sosial negara. - BERNAMA

Berita Harian X