Jumaat, 23 Ogos 2019 | 11:35am
Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Pameran Hutan Kita di Menara Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin
Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Pameran Hutan Kita di Menara Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Industri sawit negara patuh standard kelestarian

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, dakwaan mengaitkan minyak sawit dengan penebangan hutan secara berleluasa bukan sahaja tidak berasas, malah memberi kesan terhadap pembangunan sosioekonomi negara.

Perdana Menteri berkata, dakwaan tidak adil itu menyebabkan seramai 650,000 pekebun sawit dan kira-kira 1.5 juta pekerja industri berkenaan terkesan secara langsung.

“Kita dituduh meletakkan pembangunan sebagai perkara utama berbanding keperluan hutan, dan isu membabitkan penebangan hutan bagi penanaman sawit menjadi serangan utama pihak yang mencemburui kita.

“Sebenarnya, penanaman sawit di negara ini dilakukan dengan penuh lestari dan bertanggungjawab. Kerajaan patuh kepada dasar pembangunan lestari dan sentiasa memastikan industri ini tidak menjejaskan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Pameran Hutan Kita di Menara Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar.

Tun Dr Mahathir Mohamad menandatangani plak pelancaran Pokok Kebangsaan "Merbau" selepas majlis perasmian pameran Hutan Kita 2019. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin
Tun Dr Mahathir Mohamad menandatangani plak pelancaran Pokok Kebangsaan "Merbau" selepas majlis perasmian pameran Hutan Kita 2019. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Pada majlis itu, Dr Mahathir turut mengumumkan pokok merbau atau nama saintifiknya Intsia Palembanica sebagai Pokok Kebangsaan.

Katanya, tumbuhan itu dipilih kerana melambangkan keutuhan integriti hutan Malaysia, hasil daripada pengurusan mampan dalam memelihara khazanah biodiversiti negara.

“Dengan pemilihan pokok merbau ini, saya percaya rakyat Malaysia boleh menjadikan tumbuhan ini simbol kebanggaan negara,” katanya.

Sementara itu, pada sidang media berasingan, Xavier berkata, Akta Perhutanan Negara 1984 akan dipinda pada Mac tahun depan dalam usaha menangani aktiviti pembalakan dan pengeluaran hasil hutan tidak terkawal.

“Paling awal, mungkin berlaku pada Mac tahun depan,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X