Jumaat, 23 Ogos 2019 | 3:14pm
PROF Datuk Noor Aziah Mohd Awal

Noor Aziah dilantik sebagai Pesuruhjaya Kanak-Kanak

PUTRAJAYA: Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal, dilantik sebagai Pesuruhjaya Kanak-Kanak bagi sesi 2019 hingga 2022.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan, hari ini, berkata Yang di-Pertuan Agong memperkenan pelantikan Noor Aziah mengikut subseksyen 5(2) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 [Akta 597].

“Pelantikan ini ialah antara langkah pembaharuan diambil kerajaan dalam melindungi hak kanak-kanak. Ia berkuat kuasa mulai 27 April 2019,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, Noor Aziah adalah Ahli Majlis Kebangsaan Bagi Kanak-Kanak (2017-2019) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri.

“Sebelum ini, beliau dilantik sebagai wakil Malaysia dalam ASEAN Commission on the Promotion and Protection of the Rights of Women and Children (2016-2019), dan pernah menjadi Pengerusi bagi Majlis Perundingan Wanita Islam Malaysia (Muslim Women Consultative Council) 2013-2019.

“Beliau memiliki pengalaman lebih 23 tahun dalam bidang hak asasi manusia, terutama berkaitan hak wanita dan kanak-kanak melalui aspek perundangan,” katanya.

Berita Harian X