Jumaat, 23 Ogos 2019 | 6:06pm
DATUK Dr Noor Hisham Abdullah.
DATUK Dr Noor Hisham Abdullah.

66,988 botol cecair rokok elektronik dirampas

KUALA LUMPUR: Sebanyak 66,988 botol cecair rokok elektronik yang disyaki mengandungi nikotin bernilai kira-kira RM1.4 juta dirampas dalam satu operasi bersepadu dijalankan Kementerian Kesihatan di seluruh negara, Selasa lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata operasi berkenaan dijalankan hasil aduan dan maklumat orang ramai berhubung penjualan cecair rokok elektronik yang mengandungi nikotin kepada pelajar sekolah.

Katanya, sebanyak 78 premis jualan diperiksa dalam operasi itu, yang dilaksanakan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) dan Bahagian Perkembangan Kesihatan Awam (Sektor Inspektorat dan Perundangan).

“Sebarang persediaan yang mengandungi nikotin adalah Racun Kumpulan C yang dikawal mengikut Akta Racun 1952.

“Justeru, pembekalan dan penjualan sebarang persediaan yang mengandungi nikotin hanya dibenarkan oleh ahli farmasi yang berlesen dan pengamal perubatan berdaftar bagi tujuan rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, penguatkuasaan dibuat mengikut Akta Racun 1952 (Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984) iaitu kesalahan menjual cecair atau sebarang persediaan yang mengandungi nikotin sebagai bahan yang tidak didaftarkan sebagai ubat dan Akta Makanan 1983 (Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004) Peraturan 13 iaitu larangan penggunaan dan pemilikan tembakau termasuk rokok elektronik dalam kalangan Orang Belum Dewasa (berusia 18 tahun ke bawah).

Beliau berkata, mengikut Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, sebarang persediaan yang mengandungi nikotin perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah.

Selain itu katanya, pengilangan, pemilikan dan penjualan produk yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan menjadi satu kesalahan mengikut Peraturan 30(1) peraturan yang sama, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.

“Kesemua kes akan disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Racun 1952 dan jika didapati bersalah boleh dihukum mengikut Seksyen 32(2) akta yang sama iaitu denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, tiada sebarang notis kesalahan dikeluarkan di bawah Peraturan 13 berkaitan larangan merokok termasuk rokok elektronik terhadap Orang Belum Dewasa dalam operasi berkenaan.

Bagaimanapun katanya, sebanyak empat notis kesalahan dikeluarkan di bawah Peraturan 12(1)(a) PPKHT 2004 iaitu tiada tanda larangan merokok di dalam premis dan tiga notis kesalahan di bawah Peraturan 14(1) iaitu tiada tanda larangan menjual hasil tembakau kepada Orang Belum Dewasa.

“Orang Belum Dewasa yang didapati melakukan kesalahan ini boleh dirampas apa-apa hasil tembakau termasuk cecair rokok elektronik di dalam milikan mereka dan akan menerima notis kesalahan serta boleh didenda tidak melebihi RM1,000,” katanya.

Dr Noor Hisham turut menasihatkan pengilang, pengedar dan penjual untuk menghentikan serta merta sebarang aktiviti pengilangan, pengedaran dan penjualan sebarang persediaan termasuk cecair rokok elektronik yang mengandungi nikotin.

Katanya, orang ramai dan pihak media boleh mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkaitan penjualan cecair rokok elektronik mengandungi nikotin kepada BPF atau melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my atau mana-mana Cawangan Penguatkuasa Farmasi yang berdekatan atau melalui talian 03-78413200.

“Bagi kesalahan lain mengikut PPKHT 2004 terutama Peraturan 13 berkaitan larangan merokok dalam kalangan Orang Belum Dewasa, sebarang aduan boleh disalurkan kepada Sektor Kawalan Tembakau dan Urus Setia Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) di talian aplikasi WhatsApp 010-8608949 atau menghubungi talian 03-88924530,” katanya.

Berita Harian X