Jumaat, 23 Ogos 2019 | 10:28pm
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Etiqa Insurans & Takaful, Kamaludin Ahmad. - Foto Rosela Ismail
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Etiqa Insurans & Takaful, Kamaludin Ahmad. - Foto Rosela Ismail

Etiqa bayar tuntutan penumpang terjejas di KLIA

KUALA LUMPUR: Etiqa akan membayar tuntutan pelanggan yang membeli polisi perlindungan perjalanan takaful, jika penerbangan lewat melebihi masa ditetapkan, walaupun ia berpunca daripada kegagalan sistem.

Syarikat insurans itu menegaskan, mereka hanya menerima tuntutan untuk kelewatan penerbangan yang disebabkan situasi seperti mogok, cuaca buruk dan kerosakan mekanikal penerbangan.

Namun, bagi kes di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) yang terbabit dengan kerosakan sistem, mereka diberi pengecualian.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Etiqa Insurans & Takaful, Kamaludin Ahmad, berkata kelewatan disebabkan gangguan sistem di lapangan terbang bukan sebahagian daripada perlindungan ditawarkan kepada pelanggan.

“Kebanyakan rakyat Malaysia sudah menabung berbulan lamanya untuk bercuti. Mereka pasti tidak menduga akan berdepan pengalaman buruk seperti ini di awal percutian disebabkan kelewatan penerbangan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (kanan) meninjau keadaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto FB Anthony Loke
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (kanan) meninjau keadaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto FB Anthony Loke

“Memang kami tidak dapat menyelesaikan masalah kelewatan yang berlaku, tetapi kami akan cuba membantu untuk meringankan beban pelanggan.

“Jadi, pelanggan kami yang terjejas dengan gangguan sistem di KLIA dan klia2 sejak semalam akan diberi pengecualian. Mereka akan dibayar tuntutan walaupun ia tidak termasuk dalam perlindungan yang ditawarkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Bagi pelanggan yang terbabit dalam masalah kelewatan itu, mereka boleh menghubungi Etiqa melalui aplikasi WhatsApp di talian 019-650-7931 (bermula jam 9 pagi hingga 5 petang, pada Isnin hingga Jumaat) .

Mereka perlu mengemukakan nombor kad pengenalan, jadual penerbangan, pas masuk serta nombor akaun bank bagi proses bayaran tuntutan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X