Sabtu, 24 Ogos 2019 | 12:05pm

Sistem KLIA pulih, keadaan bertambah baik

SEPANG: Gangguan sistem rangkaian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sudah dipulihkan hari ini.

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menerusi kemas kini situasi di KLIA hari ini memaklumkan, sistem di kaunter daftar sudah tidak lagi menggunakan kaedah manual.

“Setakat jam 11 pagi, gangguan rangkaian berjaya dipulihkan, pihak kami akan terus memantau kestabilan sistem rangkaian di KLIA,” kata MAHB menerusi Instagram mereka hari ini.

Sementara itu tinjauan BH mendapati keadaan kesesakan berkurangan di KLIA dan orang ramai yang beratur di kaunter daftar masuk adalah terkawal.

Sistem utama lapangan terbang seperti sambungan WiFi, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS), kaunter daftar masuk dan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS) kembali berfungsi seperti sedia kala tanpa perlu lagi dilakukan secara manual.

Duta Airport CARE turut bekerja keras bagi menentukan keselesaan penumpang dengan turut mengedarkan minuman teh dan kopi dari jam 6.30 pagi hingga 9 pagi.

Difahamkan, Duta Airport CARE turut akan mengedarkan pek makanan tengahari kepada penumpang di kaunter daftar masuk.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holdings Bhd, Raja Azmi Raja Nazuddin, berkata masalah gangguan sistem dialami di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak Rabu lalu disebabkan kegagalan rangkaian.

Beliau berkata sebagai langkah penyelesaian, MAHB sudah menggantikan perkakasan rangkaian berkenaan yang ketika ini sedang diuji dan dipantau kestabilannya.

KEADAAN susulan gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bertambah baik dengan kesesakan berkurangan dan orang ramai beratur di kaunter daftar masuk adalah terkawal. - Foto BERNAMA
Berita Harian X