Sabtu, 24 Ogos 2019 | 2:12pm

Bantuan mangsa Taufan Lekima sudah disalur

JITRA: Kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sudah menyalurkan peruntukan khusus bagi membantu mangsa di tujuh negeri yang terjejas akibat tempias Taufan Lekima.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Kedah menerima peruntukan bantuan terbesar sebanyak RM3.84 juta, diikuti Pulau Pinang (RM2 juta) dan Perlis (RM1.16 juta).

Timbalan Perdana Menteri berkata, mangsa di Selangor turut menerima bantuan sebanyak RM1.1 juta, Terengganu (RM367,000), Perak (RM165,000) dan Pahang (RM15,000).

“Peruntukan ini akan digunakan bagi membiayai pembelian sama ada barangan atau perkhidmatan berkaitan kerja membaik pulih kediaman mengikut penilaian kerosakan.

“Peruntukan terbabit juga akan digunakan bagi pemberian wang ihsan antara RM200 hingga RM500 mengikut tahap kerosakan kediaman.

“Bantuan ini adalah sebahagian daripada ihsan Kerajaan Persekutuan untuk meringankan beban mangsa,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga arwah Marziah Che Omar yang maut dalam kemalangan ketika Taufan Lekima melanda pada 9 Ogos lalu.

Kabinet pada 14 Ogos lalu, bersetuju menyalurkan peruntukan lebih RM17 juta melalui Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) bagi membantu mangsa ribut terbabit.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, kementerian itu turut menyalurkan RM300 kepada mangsa ribut melalui tabung bantuan segera Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, ibu arwah Marziah, Antilah Md Isa, 56, berkata beliau terharu atas kesudian Timbalan Perdana Menteri menziarahi keluarganya.

“Arwah memang rapat dengan saya. Tambahan pula, arwah adalah anak bongsu dalam keluarga. Bagaimanapun, kami reda dengan ujian yang menimpa,” katanya.

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan sumbangan kepada keluarga arwah Marziah Che Omar di Taman Bersatu, Jitra. - Foto Amran Hamid
Berita Harian X