Sabtu, 24 Ogos 2019 | 3:52pm
KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (dua dari kanan) bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun (kanan) merasmikan Majlis Perasmian Karnival Usahawan Desa, di Kompleks Sukan Kota Kinabalu. - Foto Khairull Azry Bidin

95 peratus penduduk luar bandar nikmati kemudahan asas lebih baik menjelang 2025

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyasarkan 95 peratus penduduk luar bandar di negara ini akan menikmati kemudahan asas lebih baik menjelang 2025.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata kemudahan infrastruktur khususnya jalan raya adalah penting dalam usaha meningkatkan bilangan usahawan desa di negara ini.

“Kita akui dalam usaha meningkatkan keusahawanan di luar bandar, kemudahan infrastruktur ini perlu ada dan penting. Untuk itu, bagi tahun ini sahaja, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.14 bilion bagi projek prasarana luar bandar di Sabah.

“Daripada jumlah itu, setakat 31 Julai lalu, kerajaan membelanjakan kira-kira RM200 juta bagi projek prasarana luar bandar di Sabah. Ini meliputi jalan luar bandar, jalan perhubungan desa, bekalan air, elektrik dan program ameniti sosial.

“Jumlah yang besar ini dibelanjakan kerana Sabah mempunyai kawasan luar bandar yang agak luas jika dibandingkan dengan negeri lain,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Karnival Usahawan Desa (KUD) Zon Sabah atau [email protected] di Kompleks Sukan Kota Kinabalu, di sini hari ini.

Majlis pelancaran karnival yang berlangsung selama empat hari dan berakhir esok disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Madius Tangau; Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick.

Mengenai karnival berkenaan, Rina berkata sambutan amat menggalakkan dan lebih 1,000 usahawan sudah menyertai tiga karnival itu termasuk yang baharu di Sabah.

“Dua karnival sebelum ini berlangsung di Terengganu dan Pulau Pinang. Kemuncak karnival ini akan diadakan di Putrajaya pada Oktober ini dengan menyasarkan kira-kira 5,000 usahawan,” katanya.

Rina berkata, pihaknya juga akan mengadakan perbincangan dengan Malaysia Airlines Bhd (MAB) untuk menempatkan produk usahawan luar bandar di enam lapangan terbang di negara ini, termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

“Ini adalah antara usaha kita untuk mempromosikan produk yang dihasilkan usahawan desa,” katanya sambil menambah KPLB akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri supaya setiap program kementerian dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

Sementara itu, seramai 350 peserta menyertai karnival yang mencatatkan penyertaan majoriti usahawan wanita iaitu kira-kira 79 peratus.

Berita Harian X