Sabtu, 24 Ogos 2019 | 4:10pm
Operasi di kaunter daftar masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mula beransur pulih sehingga 10 pagi tadi. - Foto BERNAMA
Operasi di kaunter daftar masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mula beransur pulih sehingga 10 pagi tadi. - Foto BERNAMA

300 MH Rangers bantu uruskan penumpang di KLIA

KUALA LUMPUR: Seramai 300 sukarelawan MH Rangers ditugaskan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk membantu penumpang susulan gangguan sistem dialami lapangan terbang berkenaan.

Penerbangan Malaysia (MAS) berkata, sukarelawan terdiri daripada Malaysia Aviation Group (MAG), bertugas sejak Khamis lalu bagi membantu melancarkan urusan penumpang di KLIA.

“Gangguan sistem di KLIA memberi kesan kepada daftar masuk dan pengurusan bagasi.

“Justeru, sukarelawan MH Rangers ditempatkan di lapangan terbang terbabit bagi membantu memudahkan urusan penumpang.

“Mereka turut membantu kakitangan lapangan terbang dalam menguruskan transaksi manual selain memudahkan penumpang mendaftar di kaunter yang ditetapkan,” katanya dalam Facebook hari ini.

Penumpang dinasihatkan supaya mendapatkan bantuan sukarelawan MH Rangers bagi memudahkan urusan di KLIA.

Gangguan sistem antara lain menyebabkan kelewatan penerbangan di KLIA sejak Rabu lalu menyebabkan ramai penumpang mengalami kelewatan serta terkandas.

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam satu kenyataan menjelaskan masalah gangguan sistem disebabkan kegagalan rangkaian.

Bagaimanapun, MAHB hari ini berkata, gangguan sistem itu berjaya dipulihkan serta memaklumkan sistem di kaunter daftar sudah tidak lagi menggunakan kaedah manual.

Pihaknya turut memberi jaminan akan terus memantau kestabilan sistem rangkaian di KLIA.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X