Sabtu, 24 Ogos 2019 | 8:10pm
Jentera digunakan untuk mengorek pasir menyebabkan hidupan laut mati dan menjejaskan pendapatan nelayan.

EKSKLUSIF: Korek pasir jejas hasil laut

KUALA LUMPUR: Kegiatan mengorek pasir, penambakan pesisir pantai serta pencerobohan nelayan asing adalah di antara punca utama menjejaskan hasil laut nelayan negara ini.

Kemusnahan hutan bakau pinggir laut, sama ada akibat hakisan atau penebangan secara haram juga menyebabkan hidupan seperti siput dan kerang semakin pupus.

Selain menjejaskan pendapatan ribuan nelayan tempatan yang selama ini menjadikan pesisir pantai sebagai sumber rezeki mereka, penurunan hasil laut itu turut memberi kesan kepada bekalan, sekaligus menyebabkan kenaikan harganya di pasaran.

Keadaan ini diburukkan lagi oleh pencerobohan nelayan asing di perairan negara yang masih berterusan.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil, berkata hasil dialog bersama pihaknya, mendapati nelayan di Perak dan Selangor adalah di antara negeri negeri terjejas daripada aktiviti mengorek pasir laut.

“Bagaimanapun, LKIM tiada kuasa untuk mengawal kegiatan korek pasir di laut kerana ia terletak di bawah bidang kuasa beberapa agensi kerajaan yang lain.

AKTIVITI mengorek pasir sekitar Kuala Langat. - Foto Rosdan Wahid

“Yang pasti, kegiatan ini menjejaskan hasil laut dan mengancam habitat alam sekitar. Kesan langsungnya dirasai nelayan yang beroperasi dalam Zon A,” katanya kepada BH.

Muhammad Faiz berkata, walaupun kegiatan terbabit berlesen, ia perlu dipantau oleh pihak berkuasa supaya tiada syarat yang dilanggar hingga menjejaskan ekosistem hidupan laut dan alam sekitar, seterusnya membuatkan nelayan menjadi mangsa.

“Jika tidak berlesen, tindakan tegas perlu segera diambil terhadap mereka yang terbabit. Berikutan itu, integrasi di antara agensi yang berkaitan dengan laut perlu diselaraskan bagi memastikan tindakan proaktif boleh diambil.

“Isunya ada pelbagai agensi terbabit dalam satu sektor mengikut bidang kuasa masing-masing, justeru di sini patut ada kerjasama di antara satu sama lain,” katanya.

Jurucakap Jabatan Perikanan Selangor berkata, pencemaran industri serta aktiviti mengorek pasir laut yang berlaku di Selangor, memberi kesan besar kepada habitat serta populasi ikan serta hidupan laut di Selangor.

AKTIVITI mengorek pasir sekitar Kuala Langat. - Foto Rosdan Wahid

“Jika kita lihat kerang, antara 10 hingga 15 tahun lalu, pendaratan hidupan itu kini menurun dengan drastik di Selangor. Pada 10 hingga 15 tahun lalu, kita boleh dapat hasil sehingga 20,000 tan tetapi kebelakangan ini hanya 2,000 hingga 3,000 tan, satu penurunan yang drastik.

“Masalah utama adalah kesan pencemaran, aktiviti mengorek pasir dan masalah lumpur yang kering menyebabkan banyak benih kerang tidak dapat hidup,” katanya.

Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PenMutiara), Nazri Ahmad, berkata kegiatan mengorek pasir berhampiran Jambatan Pulau Pinang sejak beberapa tahun lalu didakwa punca utama ‘kehilangan’ sebuah pulau kecil dikenali Pulau Korea yang terletak bersebelahan kawasan middle bank atau Pulau Gazumbo, dalam kalangan nelayan tempatan negeri itu.

PENGERUSI Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PenMutiara), Nazri Ahmad.

Katanya, beliau dimaklumkan aktiviti mengorek pasir terbabit dilakukan menerusi kaedah sedutan oleh sebuah syarikat pemaju secara senyap.

“Macam mana mereka buat, kami tak pasti tetapi Pulau Korea memang sudah hilang sekarang. Walaupun tidak ramai yang tahu mengenai Pulau Korea, tapi nelayan di sini cukup tahu mengenai pulau itu,” katanya.

Difahamkan, Pulau Korea adalah pulau kecil seluas kira-kira 0.4 hektar yang diberi nama sempena syarikat kontraktor pembinaan Jambatan Pulau Pinang, Hyundai Engineering & Construction Company yang berasal dari Korea.

Ia dipercayai beting pasir yang berkembar dengan Pulau Gazumbo, iaitu pulau buatan yang terbina pada 1982, susulan pembinaan Jambatan Pulau Pinang.

Nazri berkata, kehilangan Pulau Korea menyebabkan pendapatan nelayan terjejas berikutan sumber maritim semakin musnah dan kawasan tangkapan mengecil.

Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Kelantan (PENEKA), Alias Hassan, berkata pencerobohan nelayan asing memberi kesan paling buruk kepada sektor perikanan negeri itu.

“Kita kenal pasti ada aktiviti korek pasir berlaku di Kuala Besar sejak tahun lalu, cuma setakat ini tidak memberi kesan serius kepada nelayan negeri ini.

“Ancaman yang kami terima adalah pencerobohan nelayan asing ke perairan negara ini yang mencuri hasil laut. Kegiatan mereka itu memberi kesan besar kepada nelayan negeri ini,” katanya.

Hidup nelayan kian terhimpit, pendapatan merosot

Banting: Pendapatan kira-kira 250 nelayan Pangkalan Kelanang di sini, merosot sehingga 70 peratus, ekoran kegiatan mengorek pasir di luar muara Sungai Langat sejak empat tahun lalu.

Jika sebelum ini masing-masing mampu memperoleh di antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan, kini perolehan mereka merosot hingga di bawah RM1,000 sebulan.

KETUA Pangkalan Kelanang, Zanizam Ismail

Ketua Pangkalan Kelanang, Zanizam Ismail, mendakwa kemerosotan pendapatan mereka berpunca kemusnahan ekosistem yang berpunca daripada kegiatan mengorek pasir yang dijalankan sekitar enam batu nautika dari muara Sungai Langat, sejak empat tahun lalu.

Beliau berkata, pemerhatiannya mendapati sekurang-kurangnya 16 kapal besar yang mempunyai panjang sehingga 200 meter, berlabuh dan mengorek pasir di Selat Melaka, setiap hari.

“Kapal-kapal itu akan melalui empat pangkalan iaitu Pangkalan Kelanang, Permatang Pasir, Bandar Banting dan berhenti di Pulau Carey sebelum memindahkan pasir berkenaan ke lori pengangkut. Persoalannya, jika mereka ada permit, kenapa perlu takut dengan kehadiran pihak luar.

“Malah, kegiatan dijalankan sebelah siang dan malam. Pengendali kapal korek ini dipercayai bergerak secara berangkai apabila saling berinteraksi di antara satu sama lain. Apabila sebuah kapal mengesan kehadiran bukan penduduk setempat (orang luar) di sini, mereka akan menghentikan operasi,” katanya yang percaya kumpulan pengendali kapal itu turut dilindungi tonto.

Zanizam mendakwa, pernah membuat laporan polis selepas diugut tonto yang melindungi kegiatan itu kerana dikatakan mengganggu operasi mereka.

Beliau berkata, hasil tangkapan berkurangan menyebabkan harga ikan naik, manakala ada kalanya mengalami kerosakan jaring yang dipasang akibat dilanggar kapal besar terbabit.

AKTIVITI mengorek pasir sekitar Kuala Langat. - Foto Rosdan Wahid

Wartawan BH yang menyertai pemantauan selama dua hari dengan menaiki bot nelayan pantai, mendapati kegiatan mengorek pasir bukan hanya dibuat sebelah siang, malah turut beroperasi waktu malam, meskipun masa dibenarkan Jabatan Laut hanya setakat jam 7 malam.

Tinjauan juga mendapati, kapal dagang dan tongkang turut dikesan berlabuh sesuka hati di kawasan pemasangan jaring nelayan tempatan sehingga merosakkan jaring mereka.

Pengorekan secara statik dibuat kapal pada kedudukan 10 batu nautika sebelum pasir dipindahkan ke pontun yang ditarik kapal tunda, manakala kapal pengorek bergerak menurunkan paip sebelum menyedut pasir sambil bergerak.

Kegiatan itu juga menghakis tebing tanaman pokok bakau, menyebabkan pokok tumbang, muara sungai semakin lebar, seterusnya merosakkan tukun dan hidupan laut.

Ketika hari pertama tinjauan BH, sebuah kapal pengorek pasir yang bergerak kira-kira satu batu nautika dari muara Sungai Langat, menghentikan operasi mengorek pasir serta-merta dengan melabuhkan sauh mereka, sebaik mengesan kehadiran bot kami.

AKTIVITI mengorek pasir sekitar Kuala Langat. - Foto Rosdan Wahid

Pada hari kedua tinjauan, kegiatan mengorek pasir dikesan dibuat kapal statik kira-kira tiga batu nautika dari muara Sungai Langat, sebelum ia meninggalkan lokasi dengan muatan pasir, pada jam 10 malam.

Sementara itu, seorang nelayan yang ditemui ketika tinjauan di perairan, mendakwa hanya memperoleh seekor ikan selepas lima jam menjaring di laut, berikutan kegiatan korek pasir yang berleluasa.

Nelayan, Aziman, 50-an, berkata kehidupannya sebagai nelayan semakin sukar kerana hasil laut yang diperoleh berkurangan.

“Kegiatan kapal pengorek pasir di tengah laut tanpa mengira waktu menjejaskan pembiakan ikan serta menyebabkan laut kotor.

“Pagi ini sahaja, tiga kapal masuk dan dua kapal baru keluar. Mereka mengorek pasir di kawasan yang selama ini menjadi lokasi ikan tenggiri.

“Kami pun tidak tahu mereka ada kebenaran atau tidak. Ketika terserempak, mereka tidak tahu bercakap Bahasa Melayu. Pekerja kapal mereka terdiri daripada Myanmar, Bangladesh, Nepal dan China.

“Apabila sedut pasir, hidupan laut lain akan mati ketika proses pengasingan itu. Sekarang ikan tenggiri semakin sukar ditemui di sini,” katanya sambil menunjukkan tong berisi seekor ikan senangin sebesar tapak tangan.

Aziman yang menyara isteri lumpuh dan tiga anak masih bersekolah kecewa kerana kegiatan itu menyebabkan sumber utama pendapatannya terjejas.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X