Ahad, 25 Ogos 2019 | 12:16am
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan. - Foto Zunnur Al Shafiq
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan. - Foto Zunnur Al Shafiq

PTPTN timbang cadangan tambah jumlah WPP kepada pelajar yang layak

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sedia mempertimbangkan cadangan menambah jumlah Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) yang ditawarkan kepada pelajar yang layak menerimanya pada masa akan datang.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan, berkata pada ketika ini jumlah WPP yang ditawarkan kepada pelajar yang layak menerima adalah sebanyak RM1,500 seorang.

“PTPTN ada terima permintaan supaya pertimbangkan tambahan jumlah WPP yang diberi kepada pelajar yang layak.

“Setakat ini, itulah jumlah (RM1,500) yang PTPTN berikan tetapi saya rasa ia boleh dipertimbangkan dari semasa ke semasa supaya pelajar mendapat yang terbaik pada masa akan datang,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan WPP kepada pelajar dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di sini, malam ini.

Pada majlis itu, seramai 359 pelajar ditawarkan WPP bagi sesi kemasukan pengajian peringkat ijazah ke universiti awam sesi September 2019 ini dengan peruntukan sebanyak RM538,500.

Bagi kemasukan pengajian peringkat ijazah ke universiti awam sesi September ini, PTPTN mengeluarkan waran WPP sebanyak RM31 juta kepada 20,716 pelajar seluruh negara.

Sementara itu, Wan Saiful berkata PTPTN menyasarkan bayaran balik pinjaman PTPTN pada ketika ini sebanyak RM2 bilion daripada peminjamnya.

“Pencapaiannya... Insya-Allah kita dalam sasaran dan akan mempergiatkan usaha untuk memastikan peminjam membuat bayaran balik pinjaman PTPTN dan pegawai kami sentiasa bergerak untuk bertemu dengan peminjam bagi memberi sebarang maklumat dan bantuan yang diperlukan.

“PTPTN juga mempunyai rancangan untuk membantu mempermudahkan pembayaran semula pinjaman kepada peminjam yang akan diumumkan kemudian,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X