X
Ahad, 25 Ogos 2019 | 8:05am
TIMBALAN Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
TIMBALAN Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Kebersihan tandas awam tanggungjawab semua

GEORGETOWN: Tanggungjawab menjaga kebersihan tandas awam bukan hanya terletak pada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau kontraktor pembersihan sebaliknya semua pihak.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, berkata semua pihak perlu memainkan peranan bagi memastikan negara sentiasa bersih dan indah.

Katanya, rakyat Malaysia seharusnya menunjukkan contoh yang baik kepada negara luar dengan mempraktikkan amalan kebersihan bukan sahaja di tandas awam malah di semua tempat.

“Kita mohon kerjasama semua untuk menjaga tandas awam termasuk PBT, jangan berharap kepada kontraktor cuci sahaja sebaliknya kita sendiri apabila masuk tandas, kita kena pastikan sebelum keluar tandas itu bersih seperti mana kita masuk.

“Tahun depan adalah Tahun Melawat Malaysia 2020. Kita menyasarkan 37 juta pelancong akan datang ke Malaysia. Rakyat Malaysia mestilah menunjukkan satu contoh yang baik dan antara contoh yang baik adalah menjaga kebersihan negara kita,” katanya.

Muhammad Bakhtiar berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat Parlimen Balik Pulau, dekat sini malam tadi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini, menyatakan beliau malu dengan keadaan tandas awam di negara ini yang kotor dan busuk yang menurutnya mencerminkan masyarakat Malaysia tidak mempunyai tanggungjawab sivik.

Sementara itu, Muhammad Bakhtiar yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau berkata kementeriannya mengadakan banyak program ‘Voluntourism Malaysia Bersih dan Indah’ iaitu program berbentuk sukarelawan untuk mendidik dan memupuk amalan kebersihan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Beliau berkata, menerusi program itu, orang awam boleh mengambil bahagian dengan menjalankan aktiviti pembersihan seperti ‘plogging’ (sekat) atau ‘trash hero’ (hero sampah) ketika mereka melancong ke destinasi pelancongan.

“Kita banyak program voluntourism yang kementerian buat untuk memupuk nilai bersih dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Malaysia bersih dan indah bukan hanya di tandas awam sahaja malah di tempat awam pelancongan, destinasi pelancongan seperti pantai, trek hutan lipur, taman permainan, taman bunga dan sebagainya, kita buat banyak program untuk memupuk nilai kebersihan,” katanya.

Beliau berkata, kementerian sedang menyediakan dana untuk program seumpama itu dalam usaha meningkatkan kesedaran seluruh masyarakat betapa pentingnya menjaga kebersihan. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X