Ahad, 25 Ogos 2019 | 2:29pm
Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan mengurniakan pingat Darjah Utama Seri Mahawangsa Yang Amat Dihormati (DMK) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-darjah serta Bintang-bintang Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-77 di Istana Anak Bukit hari ini. - Foto BERNAMA
Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan mengurniakan pingat Darjah Utama Seri Mahawangsa Yang Amat Dihormati (DMK) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-darjah serta Bintang-bintang Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-77 di Istana Anak Bukit hari ini. - Foto BERNAMA

Mukhriz dahului senarai penerima darjah kebesaran daripada Sultan Kedah

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendahului senarai penerima darjah dan bintang kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah ke-77 di Istana Anak Bukit, di sini, hari ini.

Sultan Kedah turut berkenan mengurniakan Darjah Kerabat (DK) Kedah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri┬┤ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah.

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin telah mempersembahkan warkah pengurniaan DK Kedah itu kepada Al-Sultan Abdullah, Khamis lalu.

Bagi istiadat hari ini, Mukhriz menerima Darjah Utama Seri Mahawangsa Yang Amat Dihormati (DMK) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama, diikuti Tunku Laksamana Kedah, Datuk Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin dikurniakan Darjah Seri Setia Sultan Sallehuddin Yang Amat Dihormati (SSSK) dengan membawa gelaran Datuk Seri Diraja.

Seterusnya Sultan Sallehuddin berkenan mengurniakan darjah kebesaran Orang Besar Lapan Datuk Seri Paduka Indera kepada Datuk Indera Senggara, Datuk Paduka Mohd Saad Endut.

Sementara itu, empat individu menerima Darjah Paduka Seri Setia Sultan Sallehuddin Kedah Yang Amat Dihormati (DPSS) membawa gelaran Datuk Paduka, iaitu Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Ahmad Kasim; Mufti Kedah, Datuk Sheikh Fadzil Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim dan Datuk Lela Pahlawan, Datuk Wira Ku Nahar Ku Ibrahim.

Datuk Seraja Setia, Datuk Paduka Rasli Basir pula dikurniakan darjah kebesaran Orang Besar Enam Belas Datuk Indera Senggara.

Sultan Kedah turut berkenan mengurniakan Darjah Gemilang Seri Mahkota Kedah Yang Amat Dihormati (DGMK) membawa gelaran Datuk Wira kepada Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir dan Penasihat Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Kedah, Datuk Dr Haji Wan Shamsudin Mohd Yusof.

Kemudian, Datuk Mat Noh Ahmad menerima darjah kebesaran Orang Besar Tiga Puluh Dua Datuk Seraja Bakti.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga negeri, Zamri Yusuf dan Pegawai Kewangan Negeri, Isahak Murat masing-masing menerima Darjah Datuk Setia Sultan Sallehuddin Kedah (DSSS) membawa gelaran Datuk.

Sultan Sallehuddin turut berkenan menganugerahkan Darjah Datuk Setia Diraja Kedah (DSDK) membawa gelaran Datuk kepada 23 penerima, antaranya Duta Besar Malaysia ke Kazakhstan, Syed Mohamad Bakri Syed Abdul Rahman; Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, Prof Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani; Ketua Polis negeri, Datuk Zainuddin Yaacob dan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail.

Dalam pada itu, seramai enam individu menerima Setia Sultan Sallehuddin Kedah (SSS) termasuk Presiden Pertubuhan KASIH Kedah, Tok Puan Norzieta Zakaria; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Dr Salmee Said dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan negeri, Halimaton Shaadiah Saad.

Selain itu, seramai 14 individu menerima Setia Diraja Kedah (SDK) manakala dua lagi penerima mendapat pingat kebesaran Setia Diraja Kedah (SDK Kehormat). - BERNAMA

Berita Harian X