Ahad, 25 Ogos 2019 | 7:16pm
MENTERI Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad bercakap pada majlis penutup program ‘Talented Malaysia 2019’ di Menara KEN TTDI. - Foto Mahzir Mat Isa

Status Taman Rimba Kiara selepas keputusan mahkamah - Khalid

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengambil tindakan berhubung projek Taman Rimba Kiara selepas keputusan mahkamah yang dijangka awal bulan depan.

Menterinya, Khalid Abdul Samad, berkata perkara itu juga sudah dibentangkan kepada Perdana Menteri, Kabinet serta kementerian yang terbabit dalam projek berkenaan.

Bagaimanapun, Khalid berkata, beliau tidak boleh mengulas lanjut beberapa isu mengenai projek itu terutamanya perkara yang dibentangkan itu memandangkan kes masih dibicara di mahkamah

“Keputusan kes akan diketahui awal September ini dan selepas itu barulah kita mengatur langkah berdasar keputusan mahkamah untuk kebaikan semua pihak.

“Saya sendiri sebenarnya menahan diri untuk bercakap perkara ini kerana ia mungkin boleh memberikan subjudis tetapi ramai yang masih bercakap mengenai perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada program Telented Malaysia yang dianjurkan oleh Yayasan Ken.

Mengulas lanjut mengenai langkah yang sedang diatur kementerian menjelang keputusan mahkamah itu, Khalid menjelaskan, ia akan memberi manfaat kepada semua pihak.

“Seperti yang didakwa, projek ini akan memberi kesan kepada pihak tertentu (jika diteruskan atau dihentikan) namun ketika ini kita sedang mengatur langkah terbaik untuk mengurangkan impak yang negatif.

“Saya juga menolak dakwaan bahawa saya ini adalah pro pihak pemaju kerana saya sendiri sudah mengurangkan jumlah pemaju yang terbabit. Kenyataan itu adalah tidak benar kerana saya masih mencari penyelesaian terbaik untuk semua pihak,” katanya.

Projek pembangunan Taman Rimba Kiara mencetuskan kontroversi apabila pada April 2017, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan perintah pembangunan bagi projek mega di atas lot tanah seluas 4.9 hektar daripada 10.1 hektar Taman Rimba Kiara yang membabitkan satu blok 350 unit rumah mampu milik untuk komuniti rumah panjang Bukit Kiara, dan lapan blok kondominium mewah 50 tingkat.

Dalam perkembangan lain, mengenai tunggakan RM58 juta yang dialami DBKL berikutan sewa terkumpul penyewa unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) sehingga 1 Julai lalu, Khalid berkata pihaknya sedang mencari penyelesaian seperti mengadakan program pemutihan.

“Program pemutihan ini akan mengenal pasti adakah mereka yang tidak membayar sewa ini adalah dari kumpulan yang tidak berkemampuan.

“Kita tidaklah kejam memaksa mereka yang tidak mampu, oleh itu kita kena mencari mereka yang benar-benar perlu dibantu,” katanya.

Beliau berkata antara program yang diatur untuk kumpulan ini adalah bekerjasama dengan Jobs Malaysia yang akan turun sendiri mencari kerja untuk yang sesuai untuk mereka.

“Malah kontraktor DBKL juga akan memberi kerjasama dengan mengambil mereka untuk melakukan kerja-kerja seperti pembersihan dalam usaha meningkatkan tahap ekonomi kumpulan ini,” katanya.

Berita Harian X