Isnin, 26 Ogos 2019 | 9:19am

Penting kibarkan Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Kesedaran mengibarkan Jalur Gemilang perlu ada dalam diri rakyat tanpa mengira masa, malah tindakan itu seharusnya lebih meriah dengan ketibaan Hari Kebangsaan, Sabtu ini.

Pakar Psikologi Kaunseling, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din, berkata masyarakat perlu memahami konsep meraikan kemerdekaan iaitu dengan menyatakan perasaan masing-masing terutama ketika sambutan perayaan kebangsaan itu.

Beliau berkata, lazimnya dua perkara yang akan dilakukan bagi menzahirkan perasaan gembira menyambut kemerdekaan iaitu menyanyikan lagu patriotik dan mengibarkan bendera negara.

“Daripada situ (dua perkara berkenaan) kita boleh nampak iaitu mengibarkan bendera ini adalah sesuatu yang amat penting sebenarnya untuk kita menyatakan keseronokan dan kegembiraan kita.

“Setiap manusia, dalam dirinya ada elemen tertentu dan nilai kemenangan wajib ada dalam kalangan masyarakat Malaysia, pada masa sama bersikap proaktif,” katanya di sini.

Mohamed Fadzil yang juga Presiden Yayasan Gagasan Pendidikan Kebangsaan (Gagasan), bagaimanapun berkata masalah yang timbul ketika ini adalah sikap masyarakat yang kurang bersemangat untuk mengibarkan Jalur Gemilang.

“Ini yang kita kena lihat keberkesanan kita selama ini dalam mendidik seseorang untuk mempunyai tiga semangat iaitu kemerdekaan, kemenangan dan keseronokan dengan adanya negara yang bebas, merdeka dan berdaulat.

“Rakyat mesti bangga dengan negara ini dan dari aspek psikologi, seseorang yang tidak mengibarkan bendera atau menunjukkan bendera dikibar, ada kaitan dengan kegagalan menunjukkan tiga semangat itu,” katanya.

Beliau berkata, sungguhpun begitu, semangat cinta dan kesetiaan kepada negara tidak boleh dinilai semata-mata daripada tindakan seseorang sama ada mereka mengibarkan Jalur Gemilang ataupun tidak.

“Orang yang tidak kibar bendera kita tidak boleh kata dia negatif, kemungkinan dia ada bendera dalam bilik, rumah. Maka, kita tidak boleh nak kata dia tidak kibar bendera langsung. Mengibarkan bendera adalah cara mudah sebagai tanda orang nampak semangat setia dan cintakan negara,” katanya.

Sementara itu, seorang pengurus majlis di sebuah syarikat swasta, S Harikeshwaran, 29, berkata beliau diajar untuk menjiwai semangat patriotik dan cintakan negara sejak kecil sehingga hari ini.

“Dulu kami (keluarga) duduk berdekatan kem askar. Kami membesar di persekitaran yang penuh dengan jiwa raga patriotik, bahkan menggantung bendera (di kawasan rumah) sahaja sudah dapat merasai semangat yang luar biasa,” katanya.

Seorang pegawai sumber manusia di sebuah syarikat swasta, Hasnul Huari Abdullah, 29, mengakui turut berbangga apabila dapat mengibarkan Jalur Gemilang.

“Kibar bendera (Jalur Gemilang) ini seperti memberi suatu perasaan yang berbeza. Ia seperti mempunyai aura tersendiri,” katanya.

Peguam, Nelson Wong Yi Hau, 29, turut mengakui penting bagi setiap warga Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang bersempena Hari Kebangsaan, malah lebih baik sekiranya dapat berbuat demikian sepanjang masa.

“Jalur Gemilang adalah objek yang amat kita banggakan sebagai seorang warganegara Malaysia. Ia menunjukkan simbol pengorbanan, kebebasan dan kebanggaan rakyat Malaysia,” katanya.- BERNAMA

Berita Harian X