Isnin, 26 Ogos 2019 | 11:47am
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bergambar bersama delegasi pada majlis perasmian Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2019 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Tidak boleh layan Lynas macam 'paria' - PM

KUALA LUMPUR: Kilang nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) tidak boleh dilayan seperti ‘paria’ dan digesa menghentikan operasi serta keluar dari Malaysia, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, tindakan sedemikian hanya memburukkan keadaan kerana ia bakal merencatkan usaha menarik pelaburan langsung asing ke negara ini.

Selain itu, katanya, operasi Lynas meraih pelbagai manfaat kepada Malaysia, khususnya dalam meraih pelaburan besar menjangkau nilai RM1.7 bilion, menyediakan 700 peluang pekerjaan berkualiti dan memperuntukkan gaji lumayan.

“Kita jemput mereka (Lynas) untuk melabur di Malaysia, tetapi kemudian mendapati syarikat terbabit menghasilkan banyak bahan buangan, itu masalahnya.

“Oleh itu, kita hantar pakar untuk kenal pasti sama ada bahan buangan itu berbahaya atau sebaliknya.

“Pakar laporkan ia (bahan buangan Lynas) tidak berbahaya, tetapi orang yang menentang operasi Lynas masih bertekad untuk hapuskan syarikat berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2019 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi; timbalannya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik serta Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pelancongan Dunia, Zhu Shanzhong.

Perdana Menteri berkata, keputusan kerajaan untuk menyambung lesen operasi Lynas tiada sebarang kaitan dengan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Jepun.

“Ia tiada kaitan dengan Jepun atau hubungan rapat saya dengan Jepun,” katanya mengulas laporan yang memetik Lynas memeterai pembaharuan pinjaman mudah bagi tempoh 10 tahun bersama Jepun, sekali gus memacu komitmen syarikat dari Australia itu dalam membekalkan hasil nadir bumi kepada negara matahari terbit itu.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata, kerajaan ketika ini sedang mengkaji pertimbangan untuk menerbitkan pinjaman mudah ‘bon Samurai’ kali kedua dari Jepun, memandangkan kadar faedah yang diperuntukkan adalah lebih rendah daripada sebelum ini.

Katanya, wang daripada pinjaman mudah yang disifatkan sebagai sangat berguna kepada Malaysia itu boleh dimanfaatkan untuk pelbagai tujuan semasa.

“Jepun sedia untuk beri kita pinjaman mudah, lagi rendah daripada kadar sebelum ini, jadi kita sedang kaji bagaimana untuk gunakan pinjaman murah ini bagi menangani masalah kewangan negara,” katanya.

Berita Harian X