Isnin, 26 Ogos 2019 | 8:21pm

Sawah padi makin susut

KUALA LUMPUR: Hampir kebanyakan negeri kini dikesan menghadapi krisis penyusutan kawasan sawah padi yang sekiranya tiada kawalan boleh mengancam pengeluaran beras yang menjadi sumber makanan ruji penduduk di negara ini.

Ini berikutan kawasan sawah ‘bertukar wajah’ apabila dibangunkan dengan pelbagai projek infrastruktur, komersial dan perumahan, sekali gus menjadikan keluasan sawah padi negara makin mengecil.

Tinjauan BH di beberapa negeri mendapati, hasil padi yang tidak stabil dan tidak menentu juga menjadi antara punca kebanyakan pesawah menjual tanah sawah mereka kerana tidak mahu berdepan kerugian.

Faktor penawaran harga yang tinggi oleh pemaju, selain tidak ada keluarga yang mahu meneruskan tanah pusaka dan faktor tawaran harga lumayan oleh pembeli, turut menjadi penyumbang kepada penguncupan kawasan sawah.

Di Kedah, Kawasan sawah padi di sekitar Kota Setar, Kubang Pasu dan Pendang didapati paling banyak dibangunkan dengan projek infrastruktur, komersial dan perumahan.

Tinjauan mendapati, kawasan seperti di Alor Mengkudu, Mergong dan Bakar Bata yang dahulunya kawasan sawah, kini berubah menjadi pusat komersial.

Tinjauan BH mendapati kebanyakan negeri menghadapi krisis penyusutan kawasan sawah padi dan jika tidak dikawal, ia boleh mengancam pengeluaran beras yang menjadi sumber makanan ruji penduduk di negara ini. - NSTP/Amran Hamid

Selain itu, terdapat juga tanah pertanian di Ayer Hitam, Langgar dan Kuala Kedah ditukar menjadi kawasan perumahan baharu berikutan permintaan penduduk yang mahu memiliki rumah.

Bagi petani, Mat Bohari Lazim, 65, berkata faktor kos penanaman dan harga padi menyebabkan ramai pesawah menjual tanah mereka terutama yang terletak di pinggir bandar.

“Memang ramai petani sekitar Kota Setar menjual sawah terutama yang keluasannya kurang satu hektar kerana kos untuk menanam padi meningkat setiap tahun.

“Saya sendiri menjual sawah seluas 0.6 hektar pada 2004 kerana mendapat tawaran selepas tidak lagi mampu mengusahakannya,” katanya.

Di Perak, Hasil padi yang tidak stabil dan tidak menentu antara punca kebanyakan pesawah di utara Perak menjual tanah sawah kerana tidak mahu terus menanggung kerugian.

Bagi pesawah, Mohd Syukor Abdul Samad, 59, dari Sungai Burung, Tanjung Piandang, dia bersama dua beradiknya sepakat menjual sebahagian tanah yang diwarisi berikutan hasil padi tidak menentu.

Kawasan sawah di Tanjung Piandang, Parit Buntar yang kini sudah bertukar status kepada tanah kediaman. - NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

“Kami sekeluarga sepakat jual sebahagian tanah sawah di sekitar kawasan daerah Kerian kepada pemaju perumahan kerana sudah banyak musim padi yang kami usahakan tidak menjadi dan menanggung rugi.

”Ini kerana selain serangan penyakit, kawasan padi yang berhampiran laut yang terdedah ancaman air masin juga menyebabkan hasil tanaman terjejas,” katanya.

Di Johor, Antara faktor pengurangan kawasan sawah padi di negeri ini adalah tindakan pemilik tanah membina kediaman atas tapak berkenaan kerana berpendapat mereka berhak melakukannya demi keselesaan sendiri.

Bagaimanapun, tinjauan mendapati, saiz tanah yang digunakan untuk pembinaan kediaman itu tidak terlalu besar, malah petani memberi alasan ia memudahkan mereka mengusahakan sawah kerana tidak perlu tinggal jauh.

Penduduk Kampung Telok Rimba, Tangkak yang enggan namanya disiarkan, berkata ramai pemilik tanah sawah berbuat demikian sejak beberapa tahun lalu.

“Hanya sebahagian kecil sahaja tanah sawah di kawasan ini digunakan sebagai kediaman penduduk, selebihnya masih diusahakan dengan tanaman padi.

“Lagipun, sawah padi di bukan dari kawasan jelapang kerana hanya membabitkan keluasan penanaman kira-kira 137 hektar sahaja,” katanya.

Di Selangor, Kebanyakan pemilik sawah di daerah Kuala Selangor menimbus tanah mereka untuk membina rumah dan bukan untuk tujuan komersial seperti pembinaan kilang.

Seorang pesawah, Ahmad Mahidin, berkata pemilik biasanya tidak menimbus atau menjual tanah mereka kerana ia akan diwariskan kepada anak cucu.

“Kita di sini (Kuala Selangor) biasanya timbus tanah untuk buat rumah sendiri saja atau dijadikan kebun kecil. Bagaimanapun, saya tidak pasti jika ada pembangunan komersial dibina di atas tanah sawah di daerah lain seperti Sabak Bernam.

“Apa yang menjadi masalah sekarang adalah kami akan kehilangan tanah sawah dan kebun kerana ia akan menjadi laluan projek talian penghantaran elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dari pencawang masuk utama (PMU) Sungai Manik ke PMU Kuala Selangor,” katanya.

Di Negeri Sembilan, Tinjauan di sekitar Tanjung Ipoh, Kuala Pilah, mendapati sebahagian kawasan sawah kini menjadi ladang tanaman lain seperti nanas dan pisang.

Ia kerana pengusaha berdepan kesukaran untuk menuai hasil tanaman padi disebabkan masalah pengairan, sekali gus mendorong mereka beralih kepada tanaman alternatif.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Bakri Sawir berkata, keadaan itu juga dapat dilihat di beberapa kawasan sekitar Kuala Klawang dan Kampung Mengkan di Jelebu.

“Di Jelebu, beberapa kawasan sawah ditukarkan menjadi ladang tanaman nanas kerana masalah sama (pengairan),” katanya.

Beliau berkata, kawasan sawah khususnya di Jelebu yang terletak di kawasan laluan jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mungkin terjejas bagi memberi laluan untuk projek pembinaan mega itu.

Di Pulau Pinang, Jabatan Pertanian negeri mengakui pertukaran status tanah sawah bagi kegunaan lain antara faktor menjejaskan tahap sekuriti makanan di negeri itu.

Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Mohd Muhaimin Ibrahim, berkata menerusi program pemutihan kawasan tanaman padi dilaksanakan pada 2016, dapati seluas 677 hektar sawah di negeri ini direkodkan menguncup.

“Penguncupan ini masing-masing seluas 444.19 hektar di daerah Seberang Perai Utara; manakala di daerah Seberang Perai Tengah (119.93 hektar); daerah Seberang Perai Selatan (97.69 hektar) dan daerah Barat Daya (15.19 hektar),” katanya.

Di Kelantan, Nilai tanah semakin tinggi terutama di kawasan strategik mendorong pemiliknya menjual kepada pihak pemaju projek pembangunan, menyebabkan kawasan padi berkurang lebih 2,617 hektar sejak 10 tahun lalu di Kelantan.

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Nik Roslan Idris, berkata antara projek pembangunan ialah pembinaan lebuh raya, sekolah dan bangunan komersial.

“Pemilik tanah terutama mereka yang tidak mengusahakan tanaman padi akan merasakan nilai sewaan sekitar RM250 bagi setiap 0.4 hektar semusim tidak mencukupi, menyebabkan tanah yang sudah mencecah ratusan ribu ringgit dijual,”katanya.

“Selain itu, masalah tanah pusaka yang dibahagikan kepada ramai anak juga menjadi antara faktor tanah tanaman padi dijual,” katanya.

Di Terengganu, Hanya tanah sawah yang dikategorikan bukan kawasan pertanian aktif dan terletak di luar kawasan jelapang akan dipertimbangkan untuk ditukar status kepada tanah bangunan atau kediaman.

Pembinaan lot rumah kedai yang berdekatan dengan sawah padi di kawasan Perindustrian Shahab Perdana. - NSTP/Amran Hamid

Tukar status tanah perlu lalui prosedur ketat

Beberapa kerajaan negeri mengambil langkah sistematik dan prosedur ketat bagi penukaran status tanah bagi mengatasi penguncupan keluasan sawah padi.

Kerajaan Kedah umpamanya melaksanakan dasar menggantikan setiap tanah sawah yang terpaksa diambil bagi tujuan pembangunan dengan tanah gantian di kawasan lain.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), berkata Kedah sudah sejak sekian lama berkorban bagi menjamin pengeluaran beras negara mencukupi.

Katanya, ia membabitkan tanah negeri seluas 270,000 hektar yang dikhaskan bagi pengeluaran padi, kawasan pertanian, tasik empangan dan tadahan air.

“Kawasan ini jika dibangunkan menjadi taman industri mampu memberi pulangan lebih tinggi kepada rakyat, namun kita tidak berbuat demikian kerana komitmen sebagai pengeluar utama beras.

“Justeru kita pastikan tanah sawah yang diambil bagi tujuan pembangunan diganti dengan tanah yang dikhususkan bagi pengeluaran padi,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Perlis, Nurulhisham Yaakob, pula berkata kerajaan negeri tidak menggalakkan penjualan tanah sawah bagi tujuan pembangunan.

Beliau bagaimanapun berkata, kawasan sawah sekitar Perlis masih terpelihara tanpa sebarang pembangunan drastik bagi memastikan bekalan beras negara mencukupi.

“Status tanah pertanian juga perlu ditukar sekiranya tanah terbabit ingin dijual dan kita turut memantau selain menasihati pesawah sebelum mereka mahu berbuat demikian.

“Setakat ini, ada pesawah jual tanah mereka namun bilangannya kecil dan biasanya tanah terletak di kawasan pinggir bandar,” katanya.

Wakil petani melihat keluasan padi yang semakin berkurangan di Ketereh, Kota Bharu. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan awam, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari, berkata keluasan sawah di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian kini merosot kepada 17,000 hektar berbanding kira-kira 24,000 hektar sebelum ini.

“Justeru kawasan yang diwartakan sebagai kawasan jelapang padi akan terus dikekalkan keluasannya bagi menjamin keselamatan makanan,” katanya.

Katanya, antara faktor yang menyumbang kepada penyusutan kawasan adalah disebabkan permintaan terhadap kawasan perumahan, tanaman kelapa sawit, perusahaan ikan hiasan arowana dan pembukaan kawasan perindustrian.

Sementara itu, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Nik Roslan Idris, berkata KADA melakukan pemutihan dua tahun sekali sejak 2015 bagi mengenal pasti keluasan sebenar tanaman padi dan mengelakkan berlaku tirisan baja subsidi.

Bagi pengeluaran padi katanya, statistik menunjukkan peningkatan kepada 252,154 tan berbanding sebanyak 201,135 tan pada 2010.

“Kita sentiasa melakukan pelbagai program bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi per hektar, antaranya memberi khidmat nasihat berkaitan penggunaan benih berkualiti serta pengurusan air yang baik,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pertanian Johor, Hishamuddin Ahmad, berkata setakat ini, tiada cadangan meluaskan kawasan sawah kerana kekangan dihadapi dalam isu pengurusan sistem pengairan.

“Penanaman padi memerlukan sistem pengairan dan empangan khas kerana tanaman itu memerlukan banyak air. Bagaimanapun, kawasan penanaman yang berkelompok dan jauh antara satu sama lain di Johor menjadikan pembinaan sistem itu terlalu mahal dan tidak praktikal,” katanya.

Berita Harian X