X
Isnin, 26 Ogos 2019 | 11:03pm
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi; Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan , Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (enam dari kiri) pada Majlis Makan Malam sempena Persidangan Pelancongan Dunia (WTC2019). - NSTP/Saifullizan Tamadi
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi; Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan , Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (enam dari kiri) pada Majlis Makan Malam sempena Persidangan Pelancongan Dunia (WTC2019). - NSTP/Saifullizan Tamadi

Sarawak sasar 5 juta pelancong tahun ini

KUALA LUMPUR: Sarawak menyasarkan kehadiran lima juta pelancong sepanjang tahun ini selain berhasrat menjadikan negeri itu sebagai destinasi pelancongan dunia.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata negeri itu komited menyertai perniagaan pelancongan dan mahu bersaing secara sihat dengan pemain industri pelancongan di negara ini.

“Pada tahun lalu saja, Sarawak menerima kehadiran 4.43 juta pelawat dengan menjana pendapatan sebanyak RM7.95 bilion.

“Bagi tahun ini, kami menyasarkan sasaran lebih tinggi iaitu ketibaan lima juta pengunjung yang mana ia akan dikira berdasarkan angka Perakuan Satelit Antarabangsa,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Persidangan Pelancongan Dunia (WTC2019), yang dihadiri 1,000 delegasi dari seluruh dunia.

Hadir sama adalah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi dan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan , Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah serta Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pelancongan Sarawak, Sharzede Datu Salleh Askor.

Abang Johari berkata, tumpuan akan diberikan pada eko pengembara berdasarkan kepada segmen produk Sarawak yang berkisar berkenaan budaya, pengembaraan, alam sekitar, makanan dan festival.

Beliau berkata, bagi memperkenalkan Sarawak kepada pelancong dunia dan tempatan, pihaknya menawarkan pengalaman pelancongan yang penuh dengan sifat tanggungjawab bagi memberikan kepuasan maksimum kepada pengunjung.

“Menerusi “Pelancongan bertanggungjawab” ia akan menjadikan industri ini sebagai pelancongan terbaik untuk dikunjungi.

“Pada masa sama, ia juga akan memberi fokus perniagaan pelancongan dan pemain industri boleh sumbangan menerusi ekonomi, sosial dan impak persekitaran”, katanya.

Abang Johari berkata, Sarawak mempunyai pelbagai keunikan dari segi etnik, budaya dan lokasi pelancongan menarik termasuk hutan hujan tropika untuk diteroka.

“Kita mempunyai taman negara yang memiliki keindahan semula jadi sehingga ada yang direkodkan dalam Malaysia Book of Records.

“Antaranya adalah Taman Negara Bako, Taman Negara Niah dan Taman Negara Mulu yang diiktiraf sebagai sebuah Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO)," katanya.

Sementara itu, Abdul Karim, berkata, usaha mempromosi Sarawak adalah inisiatif strategik dalam menaikkan imej pelancongan Sarawak menerusi peluang perniagaan, kembara pelancongan atau percutian santai keluarga.

“Menerusi tema Sarawak - “More to Discover”, kempen ini membawa kita ke arah sasaran pasaran sehingga kepada pengembara individu.

“Kita juga menyasarkan kempen ini dapat mempromosi pelbagai keunikan kepada mereka yang berada di luar Sarawak menerusi budaya, pengembaraan, alam semula jadi, makanan dan festival yang hanya dapat diperoleh hanya dalam satu destinasi.

“Ia juga sejajar dengan persediaan Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020),” katanya.

Justeru, WTC2019 dilihat sebagai perkembangan baik memperkenalkan keindahan dan keunikan Sarawak sebagai negeri lokasi patut dikunjungi pelancong dalam dan luar negara.

Persidangan itu turut dapat memperkenalkan Sarawak sebagai lokasi pelancongan yang memiliki keindahan kepulauan Borneo.

WTC2019 anjuran Organisasi Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Berita Harian X