Selasa, 27 Ogos 2019 | 1:11pm

Kementerian Kesihatan akan pantau sarapan percuma murid sekolah

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan akan memantau penyediaan makanan percuma kepada murid sekolah rendah yang akan dilaksanakan Kementerian Pendidikan, tahun depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata langkah itu penting bagi memastikan makanan yang dibekalkan selamat dimakan dan mempunyai nutrisi penting kepada murid terbabit.

“Kementerian Kesihatan akan tentukan dua aspek, satu keselamatan kepada makanan itu dan satu lagi penentuan nutrisi dan diet makanan. Bagi aspek lain akan ditentukan Kementerian Pendidikan sendiri,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan kementeriannya, di sini, hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bersama warga kementeriannya mengibarkan Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan 2019 pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bersama warga kementeriannya mengibarkan Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan 2019 pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto BERNAMA

Semalam, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata seramai 2.7 juta murid sekolah rendah di seluruh negara akan akan menikmati sarapan berkhasiat secara percuma mulai Januari depan.

Beliau berkata, inisiatif itu diperkenalkan bagi memastikan murid terus kekal sihat dan cergas di samping dapat membantu mereka memberi tumpuan sebaik mungkin dalam pelajaran setiap hari.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, pihaknya akan memantau program berkenaan membabitkan proses penyediaan makanan, dan cara ia dihidangkan sebagaimana yang pernah dibuat menerusi kempen pembekalan susu 1Malaysia oleh kerajaan terdahulu.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya sudah memberi suntikan vaksin campak kepada semua kanak-kanak Orang Asli di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan.

“Di Kuala Koh, setakat ini kita boleh kata 100 peratus kanak-kanak Orang Asli sudah disuntik. Semua kanak-kanak yang kami boleh akses dan jumpa sudah diberikan suntikan itu.

“Mereka ini nomad dan kita juga sudah berikan pendidikan kesihatan dan apabila mereka sakit mereka akan pergi ke fasiliti kesihatan kita di kawasan itu,” katanya.

Sementara itu, Dr Dzulkefly menegaskan mana-mana kakitangan Kementerian Kesihatan yang didapati bersalah merokok di tempat awam akan dikenakan tindakan.

“Saya mengambil pendekatan pendidikan kepada pesalah merokok dan bukannya pendekatan punitif dan secara paksa supaya ketika kita mengangkat agenda ini. Kalau tidak dapat berhenti merokok pun tapi mereka (akan) menghormati larangan ini dan tidak merokok di tempat awam.

“Mana-mana penjawat awam, termasuk kakitangan kementerian jika disabitkan

kesalahan merokok di tempat awam, hukumannya sama seperti orang awam.

“Malah mereka boleh dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib, hukuman tatatertib boleh dikenakan kepada mereka,” katanya.

Bermula 1 Januari lalu, semua premis makanan diwartakan sebagai tempat larangan merokok selari dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018.

Untuk rekod, sehingga kini sebanyak 129,180 premis sudah diperiksa dengan notis amaran sebanyak 30,689 notis amaran sudah dikeluarkan.

 Kementerian Kesihatan akan memantau penyediaan makanan percuma kepada murid sekolah rendah yang akan dilaksanakan Kementerian Pendidikan, tahun depan. - Foto hiasan
Kementerian Kesihatan akan memantau penyediaan makanan percuma kepada murid sekolah rendah yang akan dilaksanakan Kementerian Pendidikan, tahun depan. - Foto hiasan

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X